NEW YORK – Jumlah kehadiran penonton Piala Dunia 2026 setakat ini telah mengatasi gabungan dua edisi terdahulu di Russia dan Qatar, walaupun kejohanan itu masih berbaki empat perlawanan.
Angka rasmi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), menunjukkan seramai 6,527,410 penonton hadir menyaksikan 100 perlawanan pertama kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Menurut FIFA, jumlah tersebut melepasi gabungan kehadiran yang dicatatkan pada Piala Dunia 2018 di Russia dan Piala Dunia 2022 di Qatar yang merekodkan keseluruhan 6,436,020 penonton.
Piala Dunia Russia 2018 mencatat kehadiran seramai 3,031,768 penyokong, manakala edisi Qatar 2022 sebanyak 3,404,252 penonton ke stadium.
Kejohanan kali ini hanya memerlukan 100 perlawanan untuk melepasi jumlah kehadiran gabungan dua edisi terdahulu, sedangkan Russia 2018 dan Qatar 2022 memerlukan keseluruhan 128 perlawanan untuk mencapai angka berkenaan.
Dengan empat lagi perlawanan masih menanti, termasuk dua aksi separuh akhir, perebutan tempat ketiga dan final, jumlah kehadiran keseluruhan dijangka terus meningkat.
Edisi kali ini merupakan Piala Dunia pertama yang menampilkan 48 pasukan, berbanding 32 pasukan sebelum ini.
Format baharu itu bukan sahaja menambah jumlah perlawanan, malah membuka peluang kepada lebih banyak negara dan penyokong untuk menjadi sebahagian daripada temasya bola sepak terbesar dunia.
