KUALA LUMPUR 19 April – Pengarah dan pelakon, Afdlin Shauki membuat kejutan apabila berjaya menewaskan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad, bagi perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Setiawangsa.
Nik Nazmi yang juga Naib Presiden PKR, gagal mempertahankan jawatannya itu selepas hanya mampu meraih 563 undi manakala Afdlin memperoleh 631 undi,
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran turut gagal merebut jawatan Ketua Cabang Batu apabila sekadar meraih 793 undi manakala, peguam Asheeq Ali Sethi Alivi memperoleh 946, menang dengan majoriti 153 undi.
Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan juga gagal merebut Ketua Cabang Wangsa Maju daripada penyandangnya, Lai Chen Heng selepas hanya mampu memperoleh 495 undi berbanding 587 diperoleh lawannya itu.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy, turut tewas di Cabang Bukit Bintang dalam pertandingan lima penjuru.
Jawatan ketua dimenangi Anwar Pawan Chik dengan majoriti 124 undi selepas memperoleh 807 undi, berbanding 683 diperoleh Saraswathy, G Sivamalar (664 undi), C Kishore Kumar (32 undi) dan Loh Ker Chean tidak mendapat sebarang undi.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mempertahankan Ketua Cabang PKR Lembah Pantai di sini, selepas menang tanpa bertanding bagi pemilihan jawatan itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mengekalkan jawatan berkenaan bagi penggal kedua berturut-turut untuk penggal 2025 hingga 2028.
Ketua cabang lain yang turut menang tanpa bertanding di Wilayah Persekutuan adalah Azman Abidin di Bandar Tun Razak; Muhammad Fikri Khalid @ Abdul Aziz (Putrajaya) dan Simsudin Sidek (Labuan).
