Majlis Media platform atasi isu kesilapan

KUALA LUMPUR 17 April – Majlis Media Malaysia boleh memainkan peranan dalam mengatasi isu kesilapan bahan penerbitan termasuk yang menyentuh penggunaan salah logo serta lambang kebangsaan oleh media massa.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berharap apabila Majlis Media Malaysia diwujudkan, ia akan menjadi platform atau satu format yang sesuai untuk menyelesaikan isu seperti ini.

Bagaimanapun sehingga majlis itu diwujudkan, kes seumpama itu akan diadili menerusi siasatan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kita harap bila ada Majlis Media Malaysia, itulah satu platform atau satu format baik untuk menyelesaikan isu seperti ini, namun sehingga majlis itu dibangunkan dan dihidupkan, maka kita uruskan (siasat) dulu.

“Saya dan Timbalan Menteri sudah bertemu pengurusan media berkenaan dan kita maklumkan bahawa siasatan pihak berkuasa sedang berjalan,” katanya pada sidang media di Menara Angkasapuri di sini hari ini, yang turut dihadiri timbalannya, Teo Nie Ching.

MCMC dalam kenyataan malam tadi memaklumkan sudah memanggil pihak media Kwong Wah Yit Poh berhubung laporan berkaitan gambar bendera Malaysia tidak lengkap sifatnya yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi organisasi media berkenaan semalam.

KDN pula dalam kenyataan semalam memaklumkan sudah memulakan siasatan serta-merta terhadap Sin Chew Daily berikutan penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap pada muka hadapan akhbar mereka.

Dalam pada itu Fahmi berkata, pihaknya memutuskan untuk mengadakan satu sesi taklimat mengenai tatacara penggunaan pempameran lambang kebangsaan iaitu Jalur Gemilang.

“Kita akan anjurkan sesi ini untuk rakan media dan juga (kakitangan) Unit Komunikasi Korporat (UKK) di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dalam tempoh minggu ini,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment