10 bekas Exco tarik balik saman

SEREMBAN 18 Nov. – Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan peguam mewakili 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dibatalkan pelantikan mereka untuk menarik balik saman pemula difailkan terhadap tiga defendan termasuk kerajaan negeri.

Pada prosiding secara sidang video itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain membenarkan penarikan balik saman itu selepas dimaklumkan peguam plaintif, Datuk Mohd Hafarizam Harun bahawa anak guamnya memutuskan untuk menarik balik keseluruhan saman.

Sepuluh Exco terbabit adalah Datuk Mohd Faizal Ramli yang juga ADUN Linggi; Datuk Zaifulbahri Idrisi (Chembong); Datuk Mustapha Nagoor (Palong); Siow Kong Choon (Chennah), Siti Nur Umaira Hasim (Labu), Datuk Mohd Asna Amin (Lenggeng); Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui); Suhaimizan Bizar  (Gemencheh); Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting) dan Datuk Razali Abu Samah ( Sikamat).

Roz Mawar turut membenarkan permohonan di bawah bidang kuasa asal di Mahkamah Persekutuan dengan syarat tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.

Beliau turut memerintahkan plaintif membayar kos seperti dipersetujui bersama pihak defendan, iaitu RM20,000 masing-masing kepada defendan pertama dan kedua serta RM8,000 kepada defendan ketiga.

Terdahulu, Mohd Hafarizam memaklumkan kepada mahkamah bahawa penarikan balik saman pemula itu susulan perkembangan semasa, termasuk peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang turut memberi kesan kepada kedudukan keseluruhan Exco.

Mohd Hafarizam turut memohon supaya penarikan balik berkenaan direkodkan sebagai perintah mahkamah bagi tujuan merekodkan penamatan prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.

Dalam pada itu, Roz Mawar mempersoalkan status peletakan jawatan Menteri Besar difahamkan masih belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Mohd Hafarizam kemudiannya berpendapat prosiding itu wajar ditangguhkan sementara menunggu perkenan Tuanku mengenai peletakan jawatan Ismail Lasim, tetapi dibantah pihak defendan.

Peguam Datuk Dr Cyrus Das yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, pihaknya bersetuju dengan penarikan balik saman itu dengan syarat ia dibuat tanpa kebebasan untuk memfailkan semula, termasuk melalui semakan kehakiman.

Beliau turut memaklumkan persetujuan berhubung kos perlu dibayar plaintif kepada pihak defendan serta memohon supaya penarikan balik berkenaan direkodkan sebagai perintah mahkamah.

Peguam Datuk Steven Thiru yang mewakili defendan ketiga, iaitu Dewan Keadilan dan Undang (DKU) turut mengesahkan persetujuan pihaknya terhadap penarikan balik tindakan berkenaan.

Roz Mawar sebelum membuat keputusan itu berkata, mahkamah tidak menghalang mana-mana pihak ingin menarik balik tindakan difailkan, namun pihak memulakan prosiding perlu bertanggungjawab terhadap tindakan terbabit.

Menurutnya, sepanjang tempoh lima bulan sejak saman pemula itu difailkan, mahkamah mengendalikan pelbagai permohonan termasuk permohonan defendan ketiga untuk mencelah, selain memberikan tempoh bagi memastikan perkara berkenaan dapat diputuskan dengan sewajarnya.

Saman pemula itu difailkan 10 Exco pada 5 Oktober lalu menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan sebagai responden.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment