Agenda pembaharuan peraturan lama

PUTRAJAYA 17 April  – Agenda pembaharuan undang-undang serta peraturan lama yang sudah tidak relevan perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan persepsi negatif rakyat terhadap agensi kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),  Azam Baki, berkata sebarang prosedur operasi standard (SOP) yang sudah lapuk atau tidak jelas perlu ditambah baik atau dipinda.

Justeru beliau menyarankan supaya semua jabatan kerajaan menyemak dan menilai semula undang-undang serta peraturan lama sejajar dengan situasi semasa masyarakat serta semua pihak berkepentingan.

Pada masa sama, dalam aspek penguatkuasaan, pemantauan dan pemerhatian berterusan terhadap setiap kakitangan termasuk gaya hidup mewah perlu dilaksanakan oleh ketua jabatan.

“Setiap jabatan kerajaan termasuk SPRM perlu mempunyai sistem yang jelas, terutamanya dalam hal membabitkan orang awam,” katanya dalam ucapan Program Dialog Antirasuah dan Tadbir Urus Baik Jabatan Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM,  Azmi Kamaruzaman.

Majlis dialog itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Azam berkata, SPRM menetapkan SOP yang jelas menjadikan urusan tangkapan, lokap, tahanan dan sebagainya berjalan dengan baik dan teratur.

“Apabila berlaku sesuatu insiden, kerajaan sering dipersalahkan, sedangkan ada kalanya agensi kerajaan sendiri gagal menyediakan sistem pemantauan dan pengurusan yang baik hingga mencemarkan imej kerajaan,” jelasnya.

Beliau juga menjelaskan bahawa integriti merangkumi kejujuran serta kepatuhan tanpa kompromi terhadap prinsip moral dan etika yang kukuh.

“Membangun organisasi yang berintegriti dan mempunyai tadbir urus yang baik bukan hanya tanggungjawab pemimpin utama, malah memerlukan kerjasama semua pihak dalam organisasi,” katanya.

Sementara itu, Dr Zaliha dalam ucapannya menegaskan bahawa usaha memperkukuh tadbir urus memerlukan komitmen daripada semua pihak.

“Reformasi sebenar hanya akan berlaku apabila setiap anggota organisasi merasakan bahawa mereka adalah penjaga nilai integriti organisasi,” katanya.

Beliau juga menyatakan keperluan untuk menubuhkan pasukan pemacu tadbir urus dan integriti bagi tiga Wilayah Persekutuan – Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Pada masa sama, semua bahagian dan agensi juga boleh menjalankan audit kendiri terhadap SOP dan proses kerja sedia ada, bukan untuk mencari kesalahan, tetapi untuk ruang penambahbaikan berterusan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment