GRS bayangkan kerjasama dengan PH

KOTA KINABALU 17 April – Ketua Menteri Hajiji Noor, membayangkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pimpinannya masih memilih Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerjasama pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Pengerusi GRS itu berkata pengumuman Barisan Nasional (BN) Sabah sebelum ini yang akan bekerjasama dengan PH hanya pandangan parti berkenaan tetapi GRS sebagai kerajaan mempunyai pendiriannya sendiri.

“Ya, itu BN punya pandangan. Kita kerajaan, kita sekarang adalah kerajaan negeri pada hari ini, jadi itulah pendirian kita. Tapi, untuk kebaikan negeri dan rakyat, kita tidak boleh menutup pintu rundingan, pintu perbincangan dengan parti yang lain.

“Yang penting ia memberi kebaikan kepada rakyat dan negeri. Kita harus bersatu padu, kita mesti mempunyai kestabilan politik untuk kebaikan kita semua. Itulah harapan saya, asalkan memberi kebaikan kepada kita.

Jangan lupa kadang-kadang ada orang yang cakap tetapi kita adalah kerajaan pada hari ini. Kita yang akan menentukan hala tuju kerajaan yang ada ini,” katanya  setelah tamat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan DUN Sabah, di sini, petang ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu ditanya mengenai kerjasama BN-PH yang diumumkan Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin pada Ahad lalu.

Hajiji sebelum ini mengulangi kenyataan kerjasama GRS dengan PH bagi menghadapi PRN17 berdasarkan keserasian dalam mentadbir negeri bersama , namun belum ada rundingan rasmi setakat ini.

Ditanya sama ada Persidangan DUN kali ini adalah yang terakhir sebelum dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN17, Hajiji akan berbincang dengan rakan-rakan parti komponen bagi mendapat pandangan masing-masing.

“Nanti kita akan bermesyurat bukan saja GRS tetapi juga rakan kita dalam kerajaan, iaitu PH Plus. Jadi barulah selepas itu kita putuskan bila kita mahu mengadakan pilihan raya,” katanya.

Katanya, kerajaan pimpinan beliau sekarang mempunyai tempoh hingga November depan tetapi menjangkakan PRN17 bakal diadakan sebelum itu.

Jika tidak dibubarkan sebelum atau pada Julai depan, satu lagi persidangan DUN dijangka diadakan pada Julai sebelum tempoh DUN Ke-16 sekarang terbubar sendiri apabila tempohnya berakhir pada Oktober atau November depan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment