Sabar, redha bakal jemaah haji

PUTRAJAYA: Sabar dan redha dengan keputusan kerajaan menangguhkan penghantaran jemaah haji pada musim ini, 1441 Hijrah. Itu nasihat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada bakal jemaah yang sudah tersenarai untuk menunaikan ibadah itu.

Sambil menyifatkan satu keputusan yang amat berat untuk diluahkan, beliau menjelaskan mengenai keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan jemaah.

Katanya berdasarkan syarat kemampuan untuk menunaikan ibadah haji, iaitu kesihatan, keselamatan, keizinan dan kewangan, jelas ada perkara yang tidak dapat dipenuhi bagi meneruskan ibadah berkenaan.

“Keputusan itu dicapai berdasarkan kepada taklimat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Lembaga Tabung Haji (TH), serta perbincangan ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah bersidang pada 9 Jun 2020,” katanya.

Bercakap dalam sidang media hari ini, beliau berkata, perkara itu telah pun mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan telah disampaikan kepada Kerajaan Arab Saudi.

“Sehubungan itu, TH akan mengeluarkan kenyataan rasmi dan soalan lazim (FAQ) berkaitan urusan penangguhan ibadat haji bagi Musim Haji 1441H sejurus selepas sidang media ini,” katanya.

Beliau juga menyeru seluruh umat Islam di Malaysia untuk terus berdoa agar Allah SWT menghilangkan wabak ini sepenuhnya dan memelihara dua Kota Suci Makkah dan Madinah dari sebarang perkara yang tidak diingini.

Zulkifli berkata, beliau telah bertemu dengan Duta Arab Saudi ke Malaysia semalam bagi menyerahkan surat rasmi penangguhan ibadat haji bagi Malaysia, untuk disampaikan kepada Dr Mohammed Saleh bin Taher Banten selaku Menteri Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi

Selain Malaysia, Zulkifli berkata, antara negara-negara lain yang turut menangguhkan penghantaran jemaah Haji mereka adalah Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand dan Brunei Darussalam

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Malaysiamengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi di bawah kepimpinan Khadim al-Haramain al-Sharifain Raja Salman Abdulaziz atas usaha gigih membendung penularan jangkitan Covid-19 di Tanah Suci.

“Kami amat menghargai segala pengorbanan Kerajaan Arab Saudi dan wira-wira barisan hadapan mereka yang masih bertungkus-lumus dan berterusan memerangi wabak ini khususnya di dua buah Kota Suci yang dicintai seluruh umat Islam,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment