KUALA LUMPUR 14 April – Jenazah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dibawa ke kediamannya di Tasik Perdana, di sini sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan selepas solat jenazah di Masjid Negara esok.
Perkara itu dimaklumkan menantu Allahyarham, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada sidang akhbar di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.
“Esok pagi jenazah akan dibawa ke Masjid Negara. Kemudian pada pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari jenazah akan diletakkan di Dewan Solat Utama Masjid Negara untuk penghormatan terakhir.
Selepas zuhur akan diadakan solat jenazah bagi Pak Lah, selepas itu akan dikebumikan di Makam Pahlawan di Masjid Negara,” katanya pada sidang media di Institut Jantung Negara (IJN).
Katanya , bagi yang ingin memberi penghormatan akhir boleh hadir dan untuk mereka yang bukan muslim, diminta untuk datang dengan pakaian yang sesuai.
Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lah menghembuskan nafas terakhir di IJN pada 7.10 malam tadi.
Allahyarham dilaporkan mengalami masalah pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia dalam keadann tenang dan tenteram di sisi anggota keluarga.
Sementara itu, IJN memaklumkan Abdullah dimasukkan ke hospital pagi semalam selepas mengalami kesukaran bernafas.
IJN dalam kenyataan itu memaklumkan Abdullah telah segera ditempatkan di bawah rawatan rapi di Unit Penjagaan Koronari (CCU) dan beliau dipantau rapi oleh pasukan pakar jantung IJN yang berdedikasi.
“Walaupun segala usaha perubatan telah dilakukan, beliau menghembuskan nafas terakhir dengan tenang, dikelilingi oleh insan tersayang,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif IJN Prof Dr Mohamed Ezani Md Taib dalam kenyataan yang sama berkata seluruh warga IJN bersama-sama kesedihan atas pemergian Abdullah.
“Menjaga beliau pada saat-saat akhir menjadi satu keistimewaan dan penghormatan.
“Sikap rendah diri dan budi pekertinya menyentuh hati ramai kakitangan kami dan kami merakamkan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga dan insan tersayang.
“Semoga beliau bersemadi dengan tenang, al-Fatihah,” katanya.
Pakar Perunding Kardiologi yang merawat Abdullah yang juga Ketua Jabatan Kardiologi Datuk Dr Azmee Ghazi berkata bekas Perdana Menteri itu sentiasa berada dengan kekuatan dalaman dan maruah yang tinggi.
“Malah pada detik-detik akhir beliau, Abdullah tetap tenang dan berbudi bahasa. Ia benar-benar satu penghormatan buat pasukan kami untuk berada di sisi beliau,” katanya.
Menurut kenyataan itu IJN dengan penuh hormat merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Abdullah dan memohon agar privasi mereka dihormati dalam tempoh berkabung ini.
Nnnn
