GAZA – Satu rakaman video disiarkan kumpulan Hamas yang memaparkan seorang tebusan warga Israel-Amerika Syarikat (AS) mengkritik kerajaan Israel kerana gagal membebaskannya.
Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang Israel mengenal pasti individu dalam rakaman itu sebagai Edan Alexander.
Tebusan yang masih hidup itu adalah seorang anggota tentera elit yang bertugas di sempadan Gaza ketika ditawan oleh pejuang Palestin dalam serangan pada 7 Oktober 2023.
Briged Ezzedine al-Qassam, sayap ketenteraan Hamas, menyiarkan video berdurasi lebih tiga minit itu yang menunjukkan Edan duduk di dalam sebuah ruang kecil dan tertutup.
Dalam rakaman berkenaan, beliau menyuarakan hasrat untuk pulang ke pangkuan keluarga sempena sambutan perayaan.
Ketika ini, Israel sedang menyambut perayaan Paskah yang memperingati pembebasan kaum Israel daripada perhambaan di Mesir, seperti yang tercatat dalam kitab suci.
Edan, yang menyambut ulang tahun ke-21 ketika dalam tahanan, dilahirkan di Tel Aviv dan dibesarkan di New Jersey, AS.
Beliau kembali ke Israel selepas tamat pengajian peringkat menengah untuk menyertai Pasukan Pertahanan Israel (IDF).
Dalam video berkenaan, Edan kelihatan bercakap dalam keadaan tertekan dengan kerap menggerakkan tangan sambil menyalahkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, atas kegagalan membebaskannya.
Rakaman itu dimuat naik beberapa jam selepas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, mengumumkan penguasaan penuh tentera Israel ke atas laluan baharu yang digelar ‘Koridor Morag’, iaitu koridor tanah strategik menghubungkan bandar Rafah dan Khan Yunis di selatan Gaza.
Nnn
