BANGKOK – Sebanyak 62 lagi mangsa runtuhan sebuah bangunan 30 tingkat yang sedang dalam pembinaan masih hilang sementara 32 orang disahkan maut dalam kejadian di daerah Chatuchak, Bangkok, Thailand.
Bangunan Pejabat Audit Negara (SAO) yang terletak di Jalan Kamphaeng Phet 2 itu runtuh pada 28 Mac lalu akibat gegaran kuat susulan gempa bumi kuat berhampiran Mandalay, Myanmar, menyebabkan lebih 100 pekerja terperangkap di dalamnya.
Menurut seorang pegawai bandar, dua lagi mayat ditemukan di Zon C kelmarin, iaitu hari ke 15 operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) melaporkan bahawa jumlah keseluruhan mangsa dalam tragedi itu adalah seramai 103 orang di mana sembilan daripada mereka mengalami kecederaan.
Dalam pada itu, Jabatan Siasatan Khas, Jabatan Kerja Raya serta Perancangan Bandar dan Desa, bersama wakil kontraktor China Railway No. 10, salah satu syarikat terbabit dalam pembinaan SAO, sudah memasuki tapak kejadian semalam bagi tujuan pemeriksaan.
Pengarah Pejabat Pencegahan dan Mitigasi Bencana, Suriyachai Rawiwan, memaklumkan pihak berkuasa belum dapat memasuki kawasan di mana isyarat cahaya dikesan kelmarin, sambil menambah bahawa kerja penggalian di bawah tapak asas mungkin perlu dilaksanakan.
Terdapat beberapa halangan dalam operasi itu, antaranya papan konkrit tebal seberat lebih 10 tan serta tetulang besi manakala kawasan di atasnya juga curam dan dikhuatiri mungkin runtuh.
Suriyachai turut memaklumkan bahawa udara sudah dipam ke dalam ruang kosong di bawah runtuhan bagi membantu mangsa yang mungkin masih hidup untuk terus bernafas.
Nnnn