ECRL: Libatkan kontraktor Bumiputera

GOMBAK 19 Jun – Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) diminta memberi jaminan penyertaan kontraktor tempatan serta Bumiputera dalam pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek bernilai lebih RM50 bilion itu juga perlu disempurnakan dengan pembabitan tenaga pekerja, perunding serta pembekal mencukupi daripada syarikat negara.

“Kerajaan akan memberi kerjasama diperlukan oleh MRL dan CCCC dalam memastikan pelaksanaan dapat disempurnakan mengikut jadual.

Saya menyatakan kepada CCCC dan MRL supaya menyegerakan pelaksanaan projek ini dan kerajaan akan berikan segala kerjasama supaya pesatkan pertumbuhan dan kejayaan projek.

“Kita juga minta beberapa perhatian termasuk jaminan, kerjasama kontraktor tempatan dan kontraktor Bumiputera serta (penyertaan) pekerja, perunding dan pembekal mencukupi dari syarikat negara dan penyertaan Bumiputera selayaknya,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Pecah Tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Gombak, hari ini.

Majlis itu diadakan bersempena lawatan rasmi selama tiga hari Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia, untuk memperkukuh hubungan dua hala dan memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Terletak di kawasan seluas 8.73 hektar di pinggir kawasan pembentukan kuarza terpanjang di dunia ‘Gombak Selangor Quartz Ridge’, stesen Terminal Bersepadu ECRL Gombak dijangka dihubungkan dengan stesen LRT Gombak sedia ada, bagi memudahkan kesalinghubungan menerusi LRT Laluan Kelana Jaya.

Ketika ini, projek berkenaan sudah mencapai 67 peratus pelaksanaan.

Dalam pada itu, Anwar juga mahu MRL dan CCCC berbincang dan merangka penyelesaian terhadap isu berkaitan penyelenggaraan dan operasi, bagi menjamin perjalanan projek mega berkenaan tidak terganggu.

“Mengenai isu penyelenggaraan dan operasi, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali sudah bertemu CCCC dan MRL semalam (kelmarin) bagi memberi tumpuan kepada keperluan, teruskan dan mula merancang (menyelesaikan) isu operasi dan penyelenggaraan ini.

“Salah satu rangkaian utama projek mega perlu dipastikan supaya pengurusan projek ini dapat dijalankan dengan cara yang betul dan tidak mengganggu kemajuannya,” katanya.

ECRL yang menghubungkan pantai timur dan barat Semenanjung atau Kota Bharu ke Pelabuhan Klang, merangkumi pembinaan 41 terowong, kira-kira 145 kilometer laluan bertingkat serta 28 lintasan hidupan liar di lokasi strategik di sepanjang jajaran relnya.

Bahagian paling kritikal pembinaan ECRL iaitu Terowong Genting sepanjang 16.39 kilometer (km) melintasi Banjaran Titiwangsa kini mencapai 30 peratus dan akan mengambil masa lebih setahun untuk disiapkan.

Jajaran sepanjang 665 kilometer itu membabitkan perbelanjaan RM50.27 bilion, direka bentuk dengan mengelak serta menyentuh sebarang kawasan hutan simpan, sumber air dan habitat hidupan liar.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment