Tarif : China mula tindak balas

NEW YORK – Beijing memulakan tindak balas ke atas tindakan Amerika Syarikat (AS), kurang 24 jam selepas pentadbiran  Donald Trump mengumumkan tarif tambahan ke atas barangan dari China.

China menerusi tindak balas terhadap ketegangan perdagangan dua ekonomi terbesar dunia itu meningkatkan kadar levi import AS kepada 84 peratus, peningkatan 50 peratus, berbanding hanya 34 peratus yang ditetapkan sebelum ini.

Peningkatan kadar itu adalah maklum balas terhadap peningkatan tarif terbaharu dikenakan AS ke atas barangan China, melebihi 100 peratus, berkuat kuasa tengah malam tadi.

Perkembangan terkini China itu dilihat berupaya mengancam melumpuhkan perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

Berdasarkan Pejabat Wakil Perdagangan AS, eksport barangan republik itu ke China bernilai AS$143.5 bilion, manakala import pula sebanyak AS$438.9 bilion, tahun lalu.

Minggu lalu, pentadbiran Trump , mengumumukan dasar tarif baharu secara menyeluruh, selain memberi amaran kepada negara lain agar tidak melakukan tindak balas.

Beberapa negara, termasuk Jepun dilihat bersedia berunding berhubung tarif berkenaan, namun China mengambil pendirian lebih tegas dan segera mengumumkan tarif timbal balasnya.

Trump menerusi respons terhadap maklum balas awal Beijing pada 2 April lalu, mengumumkan peningkatan 50 peratus, menjadikan keseluruhan cukai import ke atas barangan dari China kepada 104 peratus.

Related posts

Leave a Comment