WASHINGTON – Pendatang asing yang enggan meninggalkan Amerika Syarikat (AS) selepas diarahkan keluar berdepan denda yang tinggi sehingga AS$998 (RM4,480) sehari.
Menurut satu laporan, ia merupakan langkah terbaru pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melaksanakan ‘operasi pengusiran terbesar’ dalam sejarah negara itu.
Jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negara AS, Tricia McLaughlin dilaporkan berkata jika mereka gagal membayar denda, harta mereka boleh dirampas, menurut rancangan yang dicadangkan.
Cadangan itu berasaskan undang-undang Persekutuan tahun 1996 yang menyatakan bahawa mana-mana pendatang asing yang tertakluk kepada ‘perintah muktamad pengusiran’ dan ‘dengan sengaja gagal atau enggan’ meninggalkan AS boleh dikenakan denda sivil tidak melebihi AS$500 (RM2,245) sehari.
Mereka yang keluar secara sukarela berpeluang untuk kembali masuk secara sah ke AS pada masa depan, manakala mereka yang diusir secara paksa tidak boleh kembali.
Amaran itu termasuk ancaman denda AS$998 sehari serta denda tambahan antara AS$1,000 (RM4,490) hingga AS$5,000 (RM22,453) jika gagal keluar secara sukarela selepas menyatakan niat untuk berbuat demikian atau hukuman penjara.
Denda yang dicadangkan itu mungkin terlalu berat untuk hampir satu pertiga daripada pendatang tanpa izin menurut kajian Institut Polisi Migrasi pada 2019.
Malah, 26 peratus pendatang tanpa izin mempunyai pendapatan isi rumah di bawah garis kemiskinan.
Pada penggal pertamanya, Trump menggunakan undang-undang 1996 itu pada 2018 terhadap sembilan orang pendatang asing yang gagal meninggalkan AS selepas menerima arahan pengusiran, memerintahkan mereka membayar ratusan ribu dolar.
Namun, kebanyakan denda itu kemudian ditarik balik atau dikurangkan.
Nnnn
