Lagi wartawan Palestin terbunuh

GAZA – Jumlah wartawan yang terbunuh sejak Oktober 2023 meningkat kepada 210 orang, apabila seorang lagi wartawan Palestin terbunuh dalam serangan udara oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza awal pagi Isnin.

Pejabat Media Kerajaan Gaza mengenal pasti wartawan berkenaan,  Helmi Al-Faqawi, dari agensi berita Palestine Today, terbunuh dalam serangan ke atas khemah wartawan berhampiran Hospital Nasser di bandar Khan Younis, selatan Gaza.

Dalam serangan sama, seorang orang awam turut terkorban manakala sembilan wartawan lain cedera.

“Kami merayu kepada Persekutuan Wartawan Antarabangsa, Kesatuan Wartawan Arab dan semua badan media antarabangsa untuk mengecam jenayah sistematik terhadap wartawan dan petugas media Palestin di Gaza,” kata kenyataan pejabat media berkenaan.

Tentera Israel memperbaharui serangan besar-besaran ke atas Gaza sejak 18 Mac lalu, yang setakat ini meragut lebih 1,300 nyawa, mencederakan 3,200 orang serta menamatkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang dicapai pada Januari lalu.

Minggu lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar meningkatkan serangan ke atas Gaza seiring usaha pelaksanaan pelan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang bertujuan memindahkan penduduk Palestin dari wilayah itu.

Sejak Oktober 2023, lebih 50,700 rakyat Palestin – kebanyakannya wanita dan kanak-kanak – terbunuh dalam serangan berterusan Israel ke atas wilayah terkepung itu.

Nnn

Related posts

Leave a Comment