SEPANG 2 April – Kerajaan negeri digesa mengadakan Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi membahaskan isu kebakaran besar yang disebabkan oleh saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights semalam.
Ketua Pembangkang Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari perlu mengeluarkan notis kepada Speaker untuk memanggil sidang khas itu bagi membincangkan perkara berkepentingan awam.
Katanya, insiden kebakaran yang mencederakan ratusan rakyat dan memberi tekanan emosi kepada banyak pihak dan memerlukan sidang khas dipanggil serta merta mengikut Perkara 10(3) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menggesa Kerajaan Selangor mengambil tanggungjawab supaya siasatan yang bebas, terperinci dan telus dijalankan bagi menjawab segala persoalan yang berbangkit berkaitan insiden itu.
“Laporan siasatan mesti mengemukakan syor-syor dan langkah-langkah pemantauan dan pemeriksaan di sepanjang jajaran paip gas secara berkala bagi menjamin keselamatan rakyat khususnya penduduk-penduduk di kawasan berdekatan. Laporan itu mesti dibentangkan dan dibahaskan dalam Sidang Dewan Negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu juga berpandangan Petronas wajar membayar ganti rugi kepada semua mangsa yang mengalami kecederaan dan kerugian akibat insiden itu.
“Satu task force yang mempunyai talian terbuka mesti ditubuhkan segera untuk mengumpul data dan maklumat mangsa termasuk data kerugian dan kecederaan.
“Task force itu bertanggungjawab memberi nasihat kepada Petronas untuk memberikan ganti rugi yang berpatutan kepada semua mangsa sebagai penyelesaian yang adil dan berperikemanusiaan,” katanya yang menegaskan keutamaan PN adalah untuk menjamin keselamatan dan nyawa rakyat.
Kebakaran besar paip gas pada pagi hari kedua Aidilfitri semalam, yang menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan, dipercayai berpunca daripada kebocoran paip gas Petronas.
Kerugian membabitkan kediaman, kenderaan dan kecederaan dipercayai mencecah ratusan juta.
Setakat ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan tunai RM5,000 untuk pemilik rumah terjejas, dan RM2,500 kepada mangsa yang tercedera.
Anwar turut berkata tanggungjawab ganti rugi akan ditanggung sepenuhnya kerajaan persekutuan dan Petronas.
“Yang itu jangan bimbang, cuma ia mengambil masa sedikit,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, meminta orang ramai tampil memberi maklumat kepada polis jikai mempunyai bukti berhubung salah laku berkaitan insiden kebakaran paip gas bawah tanah itu.
Beliau berkata, langkah itu bagi membantu siasatan terperinci oleh pihak berkuasa berhubung punca sebenar kebocoran dan kebakaran saluran gas yang mengakibatkan kerosakan harta benda penduduk dengan skala sebegitu besar.
“Kerajaan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) sedia memberi kerjasama penuh dalam siasatan ini.
“Keutamaan bagi kerajaan negeri bersama Persekutuan ialah keselamatan, kebajikan dan keselesaan semua penduduk yang terkesan,” katanya menerusi kenyataan.
Nnn