DAMSYIK- Presiden sementara Syria, Ahmed al-Sharaa mengumumkan kerajaan peralihan baharu yang didominasi sekutu rapat dan termasuk seorang wanita, menggantikan pihak berkuasa sementara sejak penyingkiran Bashar al-Assad.
Rakan rapat Ahmed memegang jawatan penting, dengan Menteri Luar, Assaad al-Shaibani dan Menteri Pertahanan, Murhaf Abu Qasra mengekalkan jawatan Kabinet mereka, manakala ketua perisikan am, Anas Khattab sebagai Menteri Dalam Negeri.
Tokoh pembangkang veteran, Hind Kabawat, seorang anggota minoriti Kristian Syria dan penentang Bashar sejak sekian lama, dinamakan sebagai Menteri Hal Ehwal Sosial dan Buruh, wanita pertama yang dilantik Ahmed.
Pemimpin White Helmets, penyelamat Syria yang bekerja di kawasan yang dikuasai pemberontak, Raed al-Saleh, dilantik sebagai menteri situasi kecemasan dan bencana.
Pihak berkuasa pimpinan Islam yang kini menguasai Syria berikrar untuk melindungi golongan minoriti, terutama selepas pertempuran awal bulan ini antara lelaki bersenjata daripada komuniti Bashar, Alawit dan militia yang dikaitkan dengan pasukan pemberontak Sunni, yang menggulingkannya dan membawa kepada pembunuhan beramai-ramai orang awam.