KUALA LUMPUR 27 Mac – Syarikat tekstil, Jakel Group yang menunggu selama 11 tahun untuk pembinaan masjid di sini mengakui pernah mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang menduduki tanah milik syarikat itu secara tidak sah.
Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Mohamed Faroz Mohamed Jakel bagaimanapun berkata, hasrat itu tidak diteruskan atas nasihat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)Dr Zaliha Mustafa.
“Kami menunggu selama 11 tahun dan kami ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap jiran kami ini (Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman), tetapi dihalang oleh YB Datuk Seri Dr Zaliha mengatakan ini akan menjadi satu isu besar membabitkan kaum.
“Beliau sarankan agar saya jumpa terus dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani di Lot 328, Jalan Munshi Abdullah di sini, hari ini yang dirasmikan Anwar.
Mohamed Faroz berkata, usaha pembinaan masjid di tapak berkeluasan 1,128.02 meter persegi itu sudah bermula pada 2009 di mana perbincangan antara Jakel dan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berlangsung.
“Hasilnya surat tawaran rasmi dikeluarkan pada 6 Ogos 2012 diikuti dengan bayaran deposit sebanyak 10 peratus pada 8 Ogos 2012. Seterusnya pada tahun 2014, perjanjian jual beli dengan DBKL ditandatangani dan bayaran baki diselesaikan.
“Pada Julai 2019, Jakel menghantar surat permohonan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk membina masjid. Selepas 24 hari, pada 26 Julai 2019, pihak syarikat menerima sokongan pembinaan daripada Jawi. Jawi meluluskan (permohonan bina masjid).
“Tahun yang sama permohonan ‘development order’ (DO) dikemukakan ke DBKL dan diluluskan pada 12 Februari 2020. Pada 17 Jun 2021 kelulusan pelan bangunan diperolehi daripada DBKL, kelulusan ini turut diperbaharui beberapa kali sehingga hari ini,” katanya.
Mohamed Faroz berkata, projek pembinaan Masjid Madani tidak akan menjadi kenyataan tanpa iltizam, kesabaran dan kepimpinan yang konsisten.
“Bukan rahsia bahawa usaha ini melalui pelbagai cabaran. Namun hari ini di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, kita melihat perubahan bukan sekadar janji tapi pelaksanaan.
“11 tahun kami bersabar berunding. Alhamdulillah ‘finally you made it Yang Amat Berhormat’, you are the man. Dan untuk itu saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan kerana sokongan kepada kami, tetapi sokongan kepada umat Islam di kawasan ini.
“Dengan terbinanya masjid ini, Datuk Seri akan dikenang sampai bila-bila, tanpa Datuk Seri, we will not have this event,” katanya.
Masjid MADANI yang dibangunkan di atas tanah seluas 12,142 kaki persegi
milik Jakel di Lot 328, Jalan Munshi Abdullah di sini dijangka siap sepenuh dalam tempoh dua tahun.
Berkonsepkan inti pati Malaysia dan setinggi empat tingkat, masjid yang mempunyai dewan acara, selain pejabat serta kemudahan asas lain itu mampu menampung kira-kira 2,900 jemaah pada satu-satu masa termasuk 592 jemaah di ruang utama solat tingkat satu.
Nnn
