PUTRAJAYA 11 Jun – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan sebanyak 130,000 pesawah di Semenanjung akan menerima bantuan insentif pembajakan dan insentif penuaian sebanyak RM210 per hektar per musim.
Dalam satu kenyataan, KPKM menjelaskan bantuan tunai itu susulan langkah menaikkan insentif pembajakan dan pengenalan insentif penuaian.
“KPKM mengambil langkah menambah baik kadar sedia ada bagi insentif pembajakan iaitu daripada RM100 per hektar per musim kepada RM160 per hektar per musim.
KPKM juga turut memperkenalkan insentif baru iaitu insentif penuaian pada kadar RM50 per hektar per musim,” kata KPKM
Pada 27 Mei lalu, kerajaan dilaporkan bersetuju menambah baik kadar sedia ada bagi insentif pembajakan iaitu daripada RM100 per hektar per musim kepada RM160 per hektar per musim selain memperkenalkan insentif penuaian pada kadar RM50 per hektar per musim.
Menerusi kenaikan kadar berkenaan, pesawah terbabit dilaporkan akan menerima bayaran insentif pembajakan dan insentif penuaian sebanyak RM210 per hektar per musim.
Pada masa yang sama, subsidi dan insentif sedia ada kepada golongan nelayan dan pesawah akan terus dikekalkan.
Bagi nelayan, Kerajaan akan terus memberikan subsidi diesel pada harga RM1.65 seliter kepada kategori pemilik vesel perikanan Zon A, B dan C tertakluk kepada kuota yang ditetapkan.
Manakala bagi pesawah, Kerajaan menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan metrik kepada RM500 per tan metrik pada tahun 2023.
Selain daripada bantuan tunai kepada pengusaha sektor pertanian, Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut membantu syarikat sektor pertanian dengan pemberian fleet card diesel bersubsidi kepada kenderaan pengangkutan yang layak di bawah Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0 seperti lori rigid hasil pertanian dan lori rigid kandang haiwan.
Terdahulu Kementerian Kewangan (MOF) pada 27 Mei lalu dilaporkan mengumumkan pelaksanaan Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) termasuklah kategori BUDI Agri-Komoditi kepada petani, penternak dan pengusaha akuakultur yangberkelayakan.
Dilaporkan lebih 30,000 individu, petani dan pekebun kecil komoditi akan menerima bantuan subsidi tunai BUDI MADANI berjumlah RM200 bermula Isnin lalu, bagi membantu mengurangkan tekanan kenaikan kos sara hidup.
Nnnn