KUALA LUMPUR 25 Mac – Kerajaan akan memindahkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman kira-kira 50 meter dari tapak asal, dengan keluasan 4,000 kaki persegi iaitu setara dengan saiz kuil sedia ada bagi memberi laluan pembinaan Masjid Madani.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, persetujuan tersebut dicapai hasil rundingan pelbagai pihak termasuk bersama pihak kuil.
Manakala Setiausaha jawatankuasa kuil berkenaan, Kaarthik Gunaseelan, juga memaklumkan persetujuan sudah dicapai dengan pihak berkuasa mengenai pemindahan kuil berhampiran Jalan Masjid India di sini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menegaskan beliau akan hadir pada majlis peletakan batu asas bagi pembinaan Masjid Madani di Jalan Masjid India, tanah wakaf milik Jakel Trading Sdn Bhd. pada Khamis ini.
Bercakap pada sidang media di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini, Dr Zaliha berkata, tapak tersebut merupakan sebahagian daripada Lot PT 95, Seksyen 40, Mukim Bandar Kuala Lumpur.
Katanya, pembangunan tapak baharu ini tertakluk kepada syarat-syarat pembangunan yang berkuat kuasa yang turut dipersetujui oleh pihak kuil.
“Kerajaan juga mengulangi jaminan bahawa tiada sebarang perobohan akan dilakukan ke atas struktur kuil sedia ada. Kuil tersebut akan terus dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa sehingga proses penempatan semula selesai sepenuhnya dalam suasana harmoni,” katanya.
Dr Zaliha berkata, kerajaan menegaskan komitmen untuk memastikan prinsip kebebasan beragama seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan terus dihormati, di samping memastikan kepentingan awam dan kedaulatan undang-undang terus terpelihara.
Katanya, setiap keputusan yang diambil adalah berpaksikan semangat muhibah serta keharmonian masyarakat majmuk.
“Setiap isu melibatkan rumah ibadat akan dinilai secara individu berdasarkan garis panduan, kedudukan tanah dan peraturan yang berkuat kuasa,” tambah beliau.
Dalam masa sama, Dr Zaliha berkata kerajaan mengingatkan bahawa semua pembinaan rumah ibadat baharu perlu mematuhi semua garis panduan serta peraturan sedia ada, bagi menjamin keharmonian dan ketenteraman awam di Wilayah Persekutuan.
Sehubungan itu, kerajaan menyeru semua pihak termasuk pemimpin dan masyarakat agar tidak memanipulasikan isu ini dengan memainkan sentimen perkauman dan keagamaan.
“Polemik ini harus dihentikan segera. Marilah kita semua terus memelihara keharmonian dan keamanan yang telah sekian lama menjadi asas kekuatan negara.
“Kerajaan sentiasa menghormati hak dan kepercayaan semua penganut agama, dalam masa yang sama memastikan setiap keputusan yang diambil bersifat adil, inklusif serta mengutamakan kepentingan bersama,” kata Dr Zaliha.
Sementara itu, Gunaseelan, berkata, tapak baharu kuil itu masih terletak sekitar Jalan Masjid India, bahkan ia berdekatan dan sesuai sebagai lokasi alternatif.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada menteri, wakil rakyat dan pihak berkuasa yang terbabit atas sokongan mereka dalam merealisasikan penyelesaian ini.
Pihak kami akan bertemu DBKL untuk menghadiri mesyuarat bagi memuktamadkan aspek teknikal, dan pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.