Serangan berterusan Israel di Gaza

BAITULMUQADDIS – Lebih 50 mangsa terkorban termasuk beberapa pemimpin kanan Hamas, dalam tempoh 24 jam lalu akibat serangan terbaharu tentera Israel di seluruh Gaza bermula semalam.

Operasi darat itu termasuk mengepung sebahagian bandar Rafah berhampiran Mesir dilakukan serentak dengan peningkatan serangan di Lubnan dan pelancaran peluru berpandu dari Yaman.

Israel juga menempatkan tenteranya di beberapa kawasan di Gaza, walaupun terdapat gesaan global bagi menghidupkan semula gencatan senjata yang dimeterai dengan pejuang Hamas pada Januari.

Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas semalam melaporkan perang yang tercetus akibat serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 setakat ini meragut sekurang-kurangnya 50,021 nyawa di wilayah itu.

Jumlah itu termasuk sekurang-kurangnya 637 rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan terbaharu Israel sejak Selasa lalu.

Tentera Israel semalam memaklumkan mereka sedang menjalankan operasi di Beit Hanun, utara Gaza, di mana ‘jet pejuangnya menyerang beberapa sasaran Hamas’, dengan objektif operasi ‘memusnahkan infrastruktur pengganas dan menghapuskan pejuang’ di kawasan itu.

Sejak tiga minggu lalu, Israel menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza bagi memaksa Hamas menerima syarat Israel untuk melanjutkan gencatan senjata serta membebaskan 58 tebusan yang masih ditahan oleh pejuang Palestin.

Hamas mendakwa Israel membunuh tebusan dengan meneruskan pengeboman manakala ramai keluarga tebusan menggesa gencatan senjata diperbaharui dengan menyatakan kebanyakan mereka yang dibebaskan masih hidup ketika tempoh gencatan senjata.

Nnn

Related posts

Leave a Comment