GAZA CITY – Pejuang Hamas menggesa negara Arab dan Islam mengambil tindakan segera bagi menghentikan serangan berterusan Israel ke Gaza, dengan mengatakan mereka mempunyai ‘tanggungjawab moral dan politik langsung’ untuk ‘menghentikan genosid terbabit.
Serangan udara Israel yang disambung semula pada Selasa lalu, memusnahkan ketenangan relatif yang wujud sejak gencatan senjata berkuatkuasa pada 19 Januari, di wilayah Palestin yang musnah akibat peperangan.
Semalam, tentera berkata operasi darat disambung semula di kawasan selatan Rafah, sementara aktiviti diteruskan di kawasan lain di wilayah terbabit.
Agensi pertahanan awam Gaza berkata, 504 orang terbunuh sejak serangan udara Israel bermula, termasuk lebih 190 mangsa berusia di bawah 18 tahun.
Dalam satu kenyataan, Hamas berkata, ‘pembunuhan terus berlaku… (dan ia) meletakkan tanggungjawab politik dan moral langsung ke atas negara Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam untuk menghentikan genosid yang dilakukan di hadapan dunia.
Kami menyeru negara Arab dan Islam mengambil tindakan segera di forum antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB, dan melaksanakan langkah segera untuk menghentikan serangan ini,” tambah kenyataan itu.
Serangan Israel yang disambung semula selepas perbincangan mengenai perlanjutan gencatan senjata menemui jalan buntu dan mendapat kecaman meluas di peringkat antarabangsa.
Fasa pertama gencatan senjata, di mana tebusan Israel yang ditahan oleh Pejuang Hamas ditukar dengan tahanan Palestin, tamat awal bulan ini.
Israel menolak perundingan untuk fasa kedua, menuntut kepulangan semua lebihan tebusan di bawah fasa pertama yang dilanjutkan manakala pejuang Hamas berkeras untuk terbabit dalam rundingan untuk fasa dua..