WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berikrar akan ‘melenyapkan’ kumpulan Houthi di Yaman yang disokong Iran dan memberi amaran kepada Tehran supaya menghentikan bantuan kepada kumpulan itu.
Katanya, Iran mesti segera menghentikan penghantaran bantuan ini dan membiarkann Houthi bertempur sendiri
“Apa pun mereka tetap kalah tetapi dengan cara ini, mereka kalah dengan lebih cepat,” katanya menerusi catatan di platform Truth Social miliknya.
Trump juga merujuk laporan apabila mendakwa Iran mengurangkan tahap sokongan ketenteraan dan bantuan umum kepada Houthi, tetapi dikatakan masih menghantar bantuan dalam jumlah besar.
Kemusnahan besar telah menimpa puak Houthi. Lihat bagaimana ia akan menjadi semakin buruk.
Ini bukan pertarungan yang adil dan tidak akan pernah berlaku. Mereka akan dimusnahkan sepenuhnya,” tegasnya.
Serangan AS terhadap Houthi di Yaman rentetan tindakan kumpulan pemberontak itu memulakan serangan ke atas kapal dagang di Laut Merah, selepas perang Gaza meletus pada 7 Oktober 2023.
Serangan puak Houthi terhadap kapal dagang di kawasan perairan itu sebagai tanda solidariti dengan Palestin.
Namun, pada minggu lalu, mereka mengancam untuk meneruskan semula serangan ke atas kapal Israel berikutan sekatan bantuan oleh Tel Aviv ke atas wilayah Palestin.
Hal ini mencetuskan serangan pertama AS ke atas Yaman sejak Trump kembali berkuasa di Rumah Putih Januari lalu.
Menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Houthi, serangan udara pada Sabtu lalu membunuh 53 orang selain mencederakan hampir 100 lagi mangsa.
Semalam, Houthi juga mendakwa yang pihaknya melancarkan serangan ke atas kapal perang AS di Laut Merah, menjadikan ia serangan keempat dalam tempoh tiga hari.
AS bagaimanapun menafikan serangan terhadap aset ketenteraannya dengan menyifatkan ia sebagai pembohongan dan maklumat palsu.
Nnn