GAZA – Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) beroperasi semula di Hospital Al-Quds di kejiranan Tal al-Hawa, barat Bandaraya Gaza mulai Rabu, dan akan mula menerima pesakit yang cedera, sakit serta pelawat mulai Jumaat depan.
Walaupun mengalami kerosakan selepas dibom semasa pencerobohan Israel pada November 2023, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan Jawatankuasa Kecemasan Gaza, mengambil kira keperluan mendesak untuk perkhidmatan perubatan di Gaza dan utara Gaza dalam krisis semasa.
Menurut laporan media, pasukan perubatan dan pentadbiran telah bekerja selama beberapa minggu untuk memulihkan hospital itu di tengah-tengah kekurangan peralatan dan bekalan perubatan yang kritikal.
Hospital itu dilengkapi dua bilik bedah, jabatan kecemasan, kawasan penerimaan dan klinik pesakit luar, selain pengaktifan unit rawatan rapi serta jabatan diagnostik seperti radiologi dan makmal, bagi memastikan penyediaan perkhidmatan perubatan yang komprehensif.
Sebelum ini, pasukan pendudukan Israel telah mengepung Hospital Al-Quds selama beberapa minggu, menghalang kakitangan perubatan dan bekalan daripada masuk sehingga operasi hospital terhenti sepenuhnya.
Kawasan sekitar hospital itu turut dibom yang memusnahkan sebahagian besar hospital dan merosakkan jabatan kecemasan serta makmal.
Kru PRCS terus berusaha memulihkan hospital itu di sebalik kemusnahan yang berlaku, dan berjaya memulihkan beberapa jabatan penting, membolehkan perkhidmatan perubatan disambung semula.