KUALA LUMPUR 20 Mac – Kerajaan memberi jaminan kuil yang terletak dalam tanah milik swasta yang akan dibangunkan di Jalan Masjid India di sini tidak dirobohkan dan akan mencari penyelesaian adil tanpa menyentuh mana-mana kaum.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, R Ramanan berkata, kerajaan akan memainkan peranan sebagai jambatan dalam rundingan antara pihak swasta yang juga pemilik tanah serta kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
“Jaminan saya jelas. Kerajaan tidak akan merobohkan kuil dan kerajaan juga komited untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas melawat kuil itu sebagai mewakili Kerajaan MADANI.
Justeru, Ramanan mengingatkan orang ramai tidak menggunakan perkataan yang boleh menimbulkan salah faham dalam isu ini.
“Tidak pernah ada pihak kerajaan menggunakan perkataan merobohkan. Perkataan yang digunakan ialah ‘mengalihkan’ dan ‘memindah’, bukan merobohkan,” katanya sambil mengingatkan semua pihak tidak memainkan sentimen perkauman atau agama yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat di negara ini.
“Kalau kita tengok komen (di media sosial), bukan sahaja daripada masyarakat biasa (tetapi) pemimpin politik pun sama. Jadi, jangan tunggang isu agama,” katanya.
Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi jaminan untuk menyelesaikan isu pembangunan tanah milik sebuah syarikat swasta itu.
Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL melalui satu kenyataan memaklumkan pihaknya sudah mengenal pasti lokasi baharu untuk pemindahan rumah ibadat itu bagi memastikan penganut Hindu dapat terus menjalankan aktiviti keagamaan mereka dengan selesa dan harmoni.