Indeks Kebahagiaan Malaysia naik 5 mata

PUTRAJAYA 20 Mac – Indeks Kebahagiaan Malaysia tahun ini meningkat lima mata dalam tempoh lima tahun, iaitu 88.84 peratus berbanding 83.34 peratus pada 2020, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Katanya, indeks kebahagiaan adalah pengukuran umum terhadap tahap kesejahteraan penduduk yang merangkumi aspek kesihatan serta kesejahteraan mental dan fizikal.

Ia juga mengambil kira tahap dan kualiti perkhidmatan diberi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan sisa pepejal dan kutipan sampah yang berkesan serta teratur.

“Sebanyak 153 PBT di Semenanjung, Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan), Sabah serta Sarawak terbabit dalam Kajian Indeks Kebahagiaan.

Daripada jumlah terbabit, sebanyak 115 bandar atau 75 peratus mencapai status bahagia, manakala 38 bandar (25 peratus) lagi status sederhana bahagia,” katanya dalam satu kenyataan.

Kor Ming berkata, Bandar Paling Bahagia dikenal pasti dalam Kategori Majlis Daerah ialah Lipis dan Cameron Highlands, Pahang; Kuala Krai, Kelantan; Bandar Baharu, Kedah; Kuala Pilah dan Jelebu, Negeri Sembilan; Jerantut, Pahang; serta Telupid, Sabah.

Bandar Paling Bahagia (Kategori Majlis Bandaraya/Perbandaran) pula ialah Bintulu, Sarawak; Temerloh, Pahang; dan Johor Bahru, Johor.

Selain itu Bandaraya Diraja Klang, Selangor; Port Dickson, Negeri Sembilan; Jasin, Melaka; Pontian dan Batu Pahat, Johor; Ampang Jaya dan Petaling Jaya, Selangor; Bandaraya Melaka Bersejarah; serta Putrajaya.

Dalam pada itu, Kor Ming turut merasmikan Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 bertema ‘Prihatin dan Kebersamaan #Demi Pertiwi’, di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Putrajaya, hari ini.

Pada peringkat negara, tahap kebahagiaan penduduk dalam kawasan PBT diukur menerusi Indeks Kebahagiaan bawah Program Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia (MURNInets) yang diselia oleh KPKT melalui PLANMalaysia.

Nnn

Related posts

Leave a Comment