GAZA – Ribuan penduduk Palestin mula berpindah sejak awal pagi semalam selepas Israel mengeluarkan arahan pemindahan bagi beberapa kejiranan yang diisytihar ‘zon pertempuran berbahaya’ susulan serangan di Beit Lahiya, utara Semenanjung Gaza.
Mereka berpindah ke bandar berhampiran iaitu Jabalia, untuk mencari perlindungan selepas tentera Israel mengarahkan penduduk Beit Hanoun di utara Gaza serta Khuza’a dan Abasan di selatan supaya segera meninggalkannya.
Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee dalam akaun X berkata, demi keselamatan penduduk, mereka perlu segera berpindah ke tempat perlindungan yang berada di Bandar Gaza dan di Khan Younis.
Menteri Luar Israel, Gideon Saar, berkata: “Tanpa pembebasan tebusan kami, Israel tiada pilihan selain menyambung semula operasi ketenteraan”.
Rumah Putih memaklumkan bahawa Israel telah merujuk kepada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebelum melancarkan serangan itu dan Israel berkata bahawa tindakan kembali berperang itu ‘diselaraskan sepenuhnya’ dengan Washington.
Jurucakap Jabatan Negara AS, berkata bahawa Hamas perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyambungan semula pertempuran.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa negara di seluruh dunia mengecam serangan berkenaan, manakala keluarga tebusan Israel merayu kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, supaya menghentikan keganasan kerana bimbang nyawa orang tersayang mereka terancam.
Ketua Setiausaha PBB, Antonio Guterres, berkata penduduk Gaza sedang menghadapi ‘tahap penderitaan yang tidak tertanggung’ akibat serangan itu.
Hamas pula menyatakan Israel ‘memutuskan untuk membatalkan perjanjian gencatan senjata’ yang dimeterai melalui pengantara dari AS, Qatar dan Mesir, sambil memberi amaran serangan yang disambung semula itu akan ‘menjadi hukuman mati’ terhadap baki tebusan yang masih ditahan.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berkata Hamas mesti faham bahawa ‘peraturan permainan telah berubah’, sambil mengancam akan menggerakkan kekuatan tentera Israel sehingga ‘kemusnahan sepenuhnya’ kumpulan itu jika tebusan tidak dibebaskan serta-merta.
Sementara Britain, Perancis dan Jerman menggesa pertempuran dihentikan segera manakala Iran, yang menyokong Hamas, mengecam gelombang serangan itu sebagai ‘sambungan kepada genosid’ di wilayah Palestin.
Russia dan China memberi amaran terhadap peningkatan ketegangan, sementara Mesir, Qatar, Jordan dan Turkiye turut mengutuk keganasan yang berlaku.
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, berkata bahawa serangan itu adalah sebahagian daripada ‘usaha yang disengajakan untuk menjadikan Semenanjung Gaza tidak layak didiami dan memaksa penduduk Palestin berpindah’.
Sekurang-kurangnya 404 rakyat Palestin terbunuh dan 562 lagi cedera dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza semalam, sekali gus menamatkan gencatan senjata yang bertahan hampir dua bulan.
Nnn
