Mengingati Perang Badar pada hari Nuzul Al-Quran

KETIKA mengingati Nuzul al-Quran, hari turunnya al-Quran kepada Nabi Allah yang terakhir, Muhammad SAW, pastinya kita tidak lupa kisah sejarah peperangan Badar kerana ia berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah.

Lokasi perang Badar ini terletak kira-kira 130 kilometer dari Madinah dan menjadi salah satu tempat ziarah luar jemaah umrah.

Mungkin kebanyakan jemaah umrah sudah tiba di sini dan kemungkinan juga tidak sempat berbuat demikian sama ada lokasi itu tidak tersenarai dalam pakej ziarah yang ditawarkan kepada jemaah atau lebih fokus di Masjid Nabawi.

Bagi penulis, walaupun sudah beberapa kali ziarah Madinah tetapi tidak pernah ke Badar dan pada 5 Januari lalu merupakan kali pertama menjejakkan kaki di lokasi bersejarah itu di samping beberapa tempat bersejarah lain.

Mungkin, peluang itu datang kerana mengikuti pakej bersama anak-anak muda yang mempunyai semangat mencari pengalaman baharu berbanding orang dewasa yang fokusnya ibadah di Masjid Nabawi dan ziarah lokasi yang sudah ditetapkan pakej.

Bagaimanapun, jemaah boleh mengemukakan cadangan kepada mutawif untuk mengunjungi Badar atau lokasi lain di luar pakej dengan bayaran tambahan.

Inilah yang dilakukan bersama 65 anak muda Kelantan, apabila penulis turut berpeluang mengunjungi lokasi bersejarah itu selepas mereka sepakat untuk memasukkan ziarah itu sebagai salah satu program berbayar.

Kumpulan anak muda Kelantan ini adalah mereka yang terpilih menunaikan ibadah umrah di tanah suci dengan tajaan penuh Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd.(Andalusia) menerusi Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan.

Program ini bertujuan memberi peluang kepada golongan muda di Kelantan menunaikan ibadah umrah buat kali pertama dengan syarat perlu solat berjemaah 90 waktu secara tetap di Masjid Imanul Faizin, Melor, Kelantan.

Dalam perjalanan menuju ke Badar yang mengambil masa kira-kira dua jam, Mutawif Andalusia, Ustaz Muhammad Zaki Ridzuan atau lebih mesra dengan panggilan Pak Tam memberi sedikit sebanyak maklumat lokasi yang akan dikunjungi.

Bagi Pak Tam mengetahui susur galur sejarah akan menjadikan ziarah itu lebih bermakna dan bukan sekadar hadir di situ. Dalam hal ini beliau tahu anak-anak muda itu telah membuat penyelidikan terlebih dahulu.

Ketika di dalam bas, Pak Tam menceritakan mengenai sejarah berkaitan telaga Al-Rauha dan As-Syifa yang akan disinggahi dan perkuburan Syuhada.

Telaga telaga inj adalah antara tempat yang sering disinggahi oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dalam perjalanan mereka kerana ia terletak di antara Madinah dan Makkah, menjadikannya lokasi strategik untuk beristirahat.

Baginda pernah singgah di sini dalam beberapa kesempatan, termasuk ketika dalam perjalanan menuju Perang Badar, Hudaibiyah, dan Umrah Qadha’.

Sesudah singgah di telaga dan mengambil airnya, jemaah terus ke perkuburan Syuhada Badar Al-Kubro serta monumen yang tersenarai nama syuhada yang terkorban dalam peperangan itu.

Dari situ jemaah bergerak ke lokasi utama di mana Nabi Muhammad SAW membina khemah bagi menghadapi perang Badar.

Di situ tersergam sebuah masjid yang dinamakan Masjid Areesh dan di belakang masjid, tidak jauh dari situ juga terdapat satu kawasan yang dikatakan ‘telaga’ atau lubang di mana mayat tentera musuh termasuk Abu Jahal dihumban ke dalamnya.

Peperangan Badar bermula sewaktu rombongan kafilah dagang Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufian sedang dalam perjalanan pulang dari Syam ke Makkah.

Nabi Muhammad SAW dan para sahabat merancang untuk memintas kafilah ini sebagai balasan terhadap tindakan Quraisy yang merampas harta umat Islam ketika peristiwa hijrah ke Madinah.

Namun, strategi ini diketahui oleh Abu Sufian, yang kemudian meminta bantuan tentera Quraisy untuk melindungi kafilah tersebut.

Susulan permintaan itu, Quraisy telah keluar dengan bilangan kira-kira 1000 orang tentera, antaranya 600 orang tentera berbaju perisai, 100 ekor kuda yang dipakaikan 100 baju perisai, tidak termasuk baju perisai tentera pejalan kaki dan 700 ekor unta.

Mereka turut membawa penyanyi-penyanyi perempuan yang memukul gendang dan menyanyi mengutuk orang Islam.

Sementara itu, di pihak Islam, hanya 313 orang, kebanyakan daripada golongan Ansar serta membawa 70 ekor unta dan dua atau tiga ekor kuda. Mereka bergilir-gilir dalam kumpulan-kumpulan kecil menaiki unta tersebut dari satu masa ke satu masa.

Namun begitu, jumlah tentera bukanlah bererti kekalahan. Peperangan ini telah dimenangi oleh tentera Islam dan ia juga merupakan kemenangan besar kerana hanya 14 orang yang syahid ketika peperangan.

Sebaliknya, 70 tentera Quraish terbunuh dan 70 lagi menjadi tawanan perang. Antara orang penting dari pihak lawan yang terbunuh dalam peperangan ini ialah bapa saudara kepada Nabi Muhammad SAW sendiri iaitu Abu Jahal (Amr Ibn Hisham) .

Selepas singgah makan di sebuah restoran dengan hidangan nasi Arab lauk ikan dan udang, kumpulan anak muda terus ke Bukit Malaikat, bukit pasir yang menjadi lokasi turunnya para malaikat untuk membantu tentera Islam semasa perang Badar.

Bagi anak muda, sudah tentu mereka pantas gagah melangkah mendaki bukit itu yang pastiya akan kekal dalam ingatan sejarah kehidupan mereka.

Terima kasih Andalusia.

Related posts

Leave a Comment