Pesawat MH720 mendarat cemas

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR 18 Mac – Pesawat Malaysia Airlines MH720 melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang ini susulan isyarat kebakaran yang dikesan ketika dalam penerbangan.

Dalam kenyataannya, Malaysia Airlines memaklumkan, sebaik sahaja menerima isyarat itu, kru penerbangan dari Jakarta ke Kuala Lumpur segera melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan.

“Langkah berjaga-jaga termasuk penggunaan pemadam api di ruang kargo hadapan turut diambil bagi mengawal keadaan.

“Pesawat yang membawa 115 penumpang dan tujuh kru itu selamat mendarat pada jam 6.18 petang waktu tempatan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pesawat berkenaan kemudian diarahkan ke kawasan parkir terpencil dan semua penumpang serta kru berjaya keluar dengan selamat.

“Pasukan bomba dan teknikal turut bersedia untuk menilai keadaan sebelum pintu kargo dibuka,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud  memaklumkan panggilan kecemasan daripada pesawat Boeing 737-800 itu diterima pukul 6.02 petang.

Beliau turut memaklumkan pihak berkuasa memberi keutamaan kepada pesawat terbabit untuk mendarat secepat mungkin bagi memastikan keselamatan semua yang berada di dalamnya.

Related posts

Leave a Comment