Pasukan pengaman di Tebing Barat

ISTANBUL – Mesir mengemukakan cadangan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mempertimbangkan penempatan pasukan pengaman antarabangsa di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang diduduki.

Cadangan itu dikemukakan semasa mesyuarat yang diadakan di Kaherah antara Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty, duta asing serta wakil antarabangsa bagi membincangkan pemulihan sektor penjagaan kesihatan Gaza.

“Ini akan dilaksanakan melalui penerimaan resolusi UNSC bagi mengerahkan pasukan pengaman atau perlindungan antarabangsa.

“Mereka akan diberi mandat dan kuasa yang jelas, mengikut jadual khusus menjamin penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka,” kata Abdelatty dalam kenyataan yang dipetik oleh Kementerian Luar.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan peringkat semasa cadangan itu.

Sidang kemuncak tergempar Arab mengenai Gaza di Mesir pada 4 Mac turut menyeru penempatan pasukan pengaman di Gaza dan Tebing Barat sebagai sebahagian daripada usaha politik untuk menubuhkan sebuah negara Palestin.

Menurut Kementerian Luar Mesir, rancangan Arab bagi membina semula Gaza tanpa memindahkan penduduk Palestin di wilayah itu telah mendapat sokongan serantau dan antarabangsa yang ketara.

Abdelatty turut menggariskan keperluan utama bagi kejayaan rancangan itu, termasuk menstabilkan gencatan senjata di Gaza, menguruskan pemulihan awal dan usaha pembinaan semula.

Kesemua usaha itu dilakukan dengan memastikan ia terus berada di bawah kawalan rakyat Palestin, dan menganggap Gaza sebagai sebahagian daripada wilayah Palestin.

Beliau turut menekankan keperluan untuk membolehkan Pihak Berkuasa Palestin (PA) kembali ke Gaza dan melaksanakan tanggungjawabnya.

Selain itu, Abdelatty memaklumkan bahawa Mesir dan Jordan telah mula melatih pegawai polis Palestin sebagai persediaan untuk penempatan mereka di Gaza.

Nnn

Related posts

Leave a Comment