PTPTN: Tiada keputusan kenakan sekatan

PUTRAJAYA 17 Mac – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) belum memuktamadkan sebarang keputusan mengenakan sekatan perjalanan ke atas peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membuat bayaran balik.

Menterinya, Dr Zambry Abdul Kadir, berkata,  dalam menyelesaikan isu ini, KPT mengambil pendekatan holistik kerana sekatan bukanlah satu-satunya pendekatan untuk memastikan peminjam melunaskan tunggakan pinjaman.

“Kita belum lagi mengumumkan (ketetapan mengenai sekatan perjalanan), tetapi sudah mengadakan langkah (untuk menyelesaikan isu tunggakan pinjaman PTPTN) seperti yang dilakukan sebelum ini.

Ia bukan hanya melihat langkah yang disebutkan seperti sekatan perjalanan dan sebagainya, tetapi bagaimana pelbagai pendekatan yang perlu dilakukan untuk pastikan peminjam membayar balik.

“Ini termasuk dengan mengadakan kutipan ataupun ejen tertentu untuk memaklumkan kepada mereka (peminjam untuk membayar balik pinjaman),” katanya selepas Majlis Ihya Ramadan bersama warga KPT yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Zambry berkata, selepas PTPTN menghantar 2.1 juta surat peringatan kepada peminjam yang memiliki tunggakan, jumlah bayaran balik pinjaman dilaporkan terus meningkat.

“Kita sudah menghantar 2.1 juta surat untuk memaklumkan kepada peminjam supaya membayar balik pinjaman mereka. Kita lihat ada peningkatan daripada segi pembayaran, selain akan meneliti secara menyeluruh apakah faktor yang membolehkan kita membuat kutipan pinjaman daripada peminjam,” katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud memberitahu Dewan Negara, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam PTPTN yang gagal membayar balik pinjaman.

Kenyataan itu mendapat sokongan Pemuda UMNO sekiranya kerajaan melaksanakan semula sekatan perjalanan itu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, menegaskan sebagai peminjam, mereka perlu bertanggungjawab dalam pembayaran hutang kepada PTPTN demi generasi akan datang.

“Kita ada tanggungjawab kepada generasi akan datang. Kalau mereka (yang culas bayar balik pinjaman) boleh pergi bercuti ke luar negara, takkan tak boleh bayar hutang, ini prinsip asas apabila berhutang,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Program Santai Moreh bersama Pemuda UMNO Perlis.

Jabatan Audit Negara (JAN) sebelum ini juga mengesyorkan PTPTN mengkaji semula mekanisme kutipan lebih efektif untuk menangani isu bayaran balik pinjaman pendidikan tertunggak yang menunjukkan peningkatan antara 2019 hingga 2023.

Sehingga 2023, jumlah tunggakan pinjaman pendidikan PTPTN adalah RM10.853 bilion, manakala bayaran balik diterima RM3.553 bilion atau mewakili 32.7 peratus.

Nnn

Related posts

Leave a Comment