KUALA LUMPUR 17 Mac – Pemilik akaun Facebook Ainon Mohd, menurunkan hantaran menghina Nabi Muhammad SAW, baru-baru ini serta memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan susulan hantaran itu.
Permohonan maaf itu yang dimuat naik melalui Facebooknya adalah susulan pertemuan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini.
“Saya, Ainon Mohd, dengan penuh rasa hormat menerima teguran dan pandangan yang telah disampaikan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dalam pertemuan yang berlangsung hari ini.
Saya juga akur dengan nasihat yang diberikan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Negeri Selangor dalam perkara ini. Sehubungan dengan itu, saya telah menurunkan hantaran berkenaan dari platform media sosial dan memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan,” katanya.
Terdahulu Jakim dalam satu kenyataan berkata, pertemuan itu dihadiri pegawai dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Negeri Selangor bertujuan menegur serta menasihati individu berkenaan agar lebih berhati-hati dalam memuat naik kandungan berunsur Islam di media sosial.
“Jakim sudah membuat teguran dan menggesa beliau menurunkan kenyataan terbabit seterusnya menasihati supaya berhati-berhati dalam memuat naik apa-apa kandungan berunsur Islam serta merujuk kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat.
Beliau bersetuju hantaran berkenaan diturunkan dengan mengemukakan permohonan maaf serta berjanji tidak akan mengulangi perkara yang sama dan akan lebih berhati-hati dalam sebarang penulisan yang dihasilkan,” kata kenyataan itu.
Jakim menggesa semua pihak tidak menimbulkan kekeliruan yang boleh mencemarkan kemuliaan Rasulullah SAW serta mengganggu keharmonian umat Islam di negara ini.
“Jakim menghargai setiap usaha yang dilakukan oleh pemain industri penerbitan buku di Malaysia dalam memandaikan umat melalui medium terbabit dan sebagai salah satu medium dakwah.
Jakim berharap semua pihak lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya membuat sandaran kepada baginda Nabi Muhammad SAW demi menjaga kesucian nama serta martabat baginda sebagai utusan Allah SWT,” kata kenyataan itu lagi.
Media sebelum ini melaporkan polis sedang menyiasat perkongsian hantaran menghina Nabi Muhammad SAW oleh pemilik Facebook berkenaan susulan 13 laporan polis yang diterima di seluruh negara setakat malam tadi.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata, pihaknya turut merujuk kes sama kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi menurunkan paparan dalam akaun Facebook suspek yang boleh mengelirukan pihak yang membaca paparan berkenaan.
Dalam pada itu Ainon memahami kepentingan untuk lebih berhati-hati dalam berkongsi kandungan berkaitan Islam dan akan memastikan rujukan dibuat kepada pihak yang berautoriti sebelum menerbitkan sebarang penulisan pada masa hadapan.
Beliau juga memberi komitmen untuk memperkemas dan memperhalusi polisi penerbitan di media sosial, merujuk pakar bidang dalam isu-isu sensitif berkaitan Nabi dan menurunkan kandungan media sosial lain yang boleh dianggap sensitif.
Ainon juga menghormati usaha Jakim dalam memelihara kesucian agama Islam dan menjunjung tinggi kemuliaan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
“Sebagai seorang yang bergiat dalam bidang penerbitan, saya sentiasa menyokong usaha dakwah dan pendidikan yang membina kefahaman Islam dengan penuh adab dan tanggungjawab.
Saya berjanji akan lebih berhati-hati dalam sebarang penulisan dan perkongsian di masa akan datang serta sentiasa merujuk kepada pihak yang lebih berautoriti dalam hal-hal berkaitan agama.
Sekali lagi, saya memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku dan menghargai teguran serta nasihat yang diberikan,” katanya.
Nnnn