FIUGGI: Sesi kerja pertama Mesyuarat Menteri Luar G7 membincangkan mengenai pendirian bersama berhubung waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, berkata G7 (Negara-negara Kumpulan Tujuh) perlu bersatu dalam isu ini untuk menunjukkan pendirian yang kukuh
Beliau menambah bahawa usaha sedang dilakukan untuk memasukkan perkara ini dalam akhir mesyuarat.
Ketika ini Amerika Syarikat menolak keputusan ICC tersebut, dan Presiden Joe Biden menyifatkannya sebagai keterlaluan.
Selain AS, negara anggota G7 yang lain adalah Britain, Perancis, Jerman, Jepun, Kanada dan Itali.
Sebelum ini, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata, adalah sangat penting untuk semua pihak mematuhi undang-undang antarabangsa, sambil menambah bahawa negaranya akan mematuhi keputusan ICC itu.
Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto, pula berkata negaranya terikat untuk menangkap Netanyahu sekiranya melawat Itali, walaupun beliau mengkritik keputusan ICC.
Kementerian Luar Perancis pula menyatakan bahawa tindakannya terhadap waran itu akan selaras dengan statut ICC, tetapi enggan mengesahkan sama ada ia akan menahan Netanyahu, atas alasan kerumitan undang-undang.
Sementara jurucakap Perdana Menteri Keir Starmer, berkata Britain menghormati kebebasan ICC.
Nnnn
