Anwar setuju tempoh jawatan PM 10 tahun

SHAH ALAM 16 Mac – Agenda reformasi termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun memerlukan konsensus semua parti serta dua pertiga Ahli Parlimen.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, proses itu perlu dilaksana dengan rapi dan kerajaan memegang janji melaksana agenda itu.

“Ada cadangan yang saya setuju, mengehadkan tempoh Perdana Menteri (kepada) 10 tahun kerana kita tahu, kalau sampai 22 tahun, boleh rosak negara. Saya setuju tetapi kita perlu runding dapatkan dukungan semua parti supaya ada dua pertiga.

Jangan bimbang, kalau saya tak mungkin lepas 10 tahun. Dua tahun pun sudah penat. Saya, PKR dan PH (Pakatan Harapan) bersetuju. Biar ada kesediaan, persetujuan dua pertiga, saya sendiri akan mulakan.

“Bagaimanapun, jangan bawa usul kalau belum cukup (dua pertiga) sebab pembangkang apa yang dia kata pun, jangan percayalah sebab mereka boleh berubah, fatwanya boleh berubah sepanjang masa.

Kalau kuasa mutlak pada saya, esok saya luluskan tapi bezanya saya bukan diktator,” katanya berucap pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam di sini, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke  dalam ucapannya berharap kerajaan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 24 bulan ini bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, janji itu terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Sementara itu Anwar yang juga Pengerusi PH ketika memulakan ucapannya berkata, dalam tempoh dua tahun Kerajaan Perpaduan mentadbir, pelbagai pencapaian dan reformasi pentadbiran dapat dilaksanakan.

“Kita pinda Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memberi kebebasan kepada Parlimen walaupun pembangkang menentang dengan cara berkecuali. Pindaan Perlembagaan bagi memartabatkan kuasa wanita kerana tidak munasabah apabila ‘parent’ dalam rujukan Perlembagaan kita adalah bapa.

“Proses pindaan ini tak mudah, perlu dapat kesepakatan semua sekurang-kurangnya ada dua pertiga undi. Kena bawa kepada Majlis Raja-Raja yang mana ada juga pandangan mereka yang harus dibawa kembali ke Parlimen.

“Ada juga pertimbangan keselamatan. Ada juga bahaya diangkut dari luar untuk melambatkan hak kewarganegaraan. Itu sebabnya ia mengambil masa tetapi apakah kita berundur? Tidak, kita teruskan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment