Nurul Izzah sah pertahan Naib Presiden PKR

KUALA LUMPUR 14 Mac – Naib Presiden PKR yang dilantik selepas  pemilihan 2022, Nurul Izzah Anwar menawarkan diri bertanding mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti yang akan berlangsung pada 24 Mei depan.

Dengan keputusan itu, beliau menyertai tiga lagi penyandang yang dipilih pada pemilihan lalu yang mengesahkan akan  mempertahankan jawatan masing-masing.

Tiga penyandang itu adalah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Nurul Izzah, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, keputusan untuk bertanding dibuat atas keinginan meraikan keperluan bakat dalam parti kerana proses ‘regenerasi’ bermula daripada akar umbi.

“Insya-Allah saya menawarkan diri khidmat selaku jawatan Naib Presiden dan berharap ahli parti dapat memberikan peluang untuk saya menggalas bebanan, selari dengan konsep fardu kifayah.

“Ia kerana sejak awal penubuhan parti, saya masuk ke gelanggang pun berdasarkan mahu melunaskan fardu kifayah, maka saya berharap dalam pemilihan kali ini dengan pertandingan dalam semangat kekeluargaan.

Saya harap dapat diberikan ruang dan peluang bukan saja untuk memperkuatkan parti dan bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16),” katanya ketika ditemui media pada  majlis Sumbangan Kasih Ramadan dan Moreh di Masjid Zaid Bin Thabit, Desa Tun Razak, malam ini.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Azman Abidin; Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai.

Ditanya sama ada keputusannya mendapat restu bapanya,  Anwar Ibrahim dan ibunya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, beliau berkata, secara prinsipnya beliau ada berbuat demikian dan mendapat keizinan daripada kedua ibu bapanya.

“Sebenarnya saya terus membuat pencalonan kerana proses kali ini agak rumit, kita perlu sokongan cabang yang mencukupi sebelum mendapat undi di peringkat pusat.

“Saya berada dalam parti cukup lama dan fokus saya parti dalam berdaya saing dan dinamik menghadapi cabaran mendatang. Kita akan melawat dari negeri ke negeri dan PKR mesti memaparkan wajah wajah yang dekat dengan rakyat,” katanya.

Beliau yang Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang berikrar akan melakukan sedaya upaya untuk memenangi jawatan Naib Presiden dan tidak ambil mudah laluan.

“Ini kerana apapun kita faham dalam konteks parti, Kerajaan Perpaduan sudah tentu ada dinamik dengan dunia yang tersendiri,” katanya.

Nn

Related posts

Leave a Comment