SEREMBAN 15 Mac – Sidang kemuncak ASEAN ke-46 akan diadakan pada 26 dan 27 Mei ini manakala Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog bermula penghujung Oktober, kata Menteri Luar, Mohamad Hasan.
Beliau berkata Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 Mei akan melibatkan semua 10 pemimpin negara anggota ASEAN manakala, mesyuarat pada 27 Mei melibatkan ketua-ketua negara ASEAN dengan ketua negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
“Besar kemungkinan, Insya-Allah selepas majlis royal banquet pada 27 Mei, akan berlangsung Sidang Kemuncak ASEAN GCC-China di Kuala Lumpur,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan dan Bantuan kepada warga emas, ibu tunggal, asnaf dan anak yatim di Dewan Komuniti, Taman Kelab Tuanku, Mambau di sini, hari ini.
Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN bermula 1 Januari lalu dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” yang mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
Mohamad berkata pada Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini, ia membabitkan negara-negara ASEAN dengan 10 negara rakan dialog seperti China, Korea Selatan, Jepun, Australia dan Amerika Syarikat.
Katanya, mereka akan terbabit dalam mesyuarat ASEAN Plus Three, ASEAN Plus One, Asian Summit dan ASEAN Regional Forum selain mesyuarat dua hala antara negara masing-masing.
“Sidang kedua ASEAN dan rakan-rakan dialong akan diadakan pada penghujung Oktober, 26 hingga 28 Oktober atau 3 hingga 5 November tetapi besar kemungkinan banyak yang bersetuju ia diadakan pada penghujung Oktober,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad menzahirkan penghargaan terhadap pujian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini atas kejayaan Wisma Putra dalam memperkukuh imej dan pengaruh Malaysia di peringkat global.
Katanya, Wisma Putra memainkan peranan penting bagi mengekalkan imej Malaysia kekal sebagai negara yang aman di rantau ASEAN iaitu bebas dan berkecuali.
Selain membawa suara rakyat Malaysia dalam hal lain seperti Gaza, Sudan, Myanmar, pendirian Malaysia adalah berprinsip iaitu mengutuk sebarang bentuk keganasan kemanusian.