PH : Armada tidak sekata

POLITIK sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Armada Pusat semakin menarik apabila satu lagi negeri menolak keputusan untuk kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH)

Selepas Terengganu dan Sabah membantah, Perak juga  tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

Sebelum ini, Ketua Armada Sabah Isquzawan Israq Arsit berkata pihaknya menolak sekeras-kerasnya pendirian sayap pusat itu kerana ramai ketua Armada Bahagian tidak diberitahu mengenai hasrat Armada Pusat dalam hal tersebut.

“Pendirian Armada Sabah ialah tidak bersetuju. Ia bukan diputuskan dalam Mesyuarat Khas Exco Armada Pusat. Sebaliknya mesyuarat khas yang dinyatakan dalam kenyataan media Armada Bersatu Malaysia itu sebenarnya merupakan Mesyuarat Penyelarasan Agihan Bantuan Armada Bersempena Ramadan 2020 dan Perjumpaan Bersama Pengerusi Bersatu”, katanya dalam satu kenyataan.

Turut membantah, Ketua Armada Terengganu Syaiful Irfan Anang yang menegaskan, pendirian Armada Terengganu adalah tetap bersama presiden parti selain tidak mahu bermusuh dengan mana-mana parti yang menyokong Perikatan Nasional. 

Armada Pusat semalam menyokong parti Bersatu kembali bekerjasama dengan PH selain menyatakan sokongan terhadap pendirian Pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad untuk tidak bekerjasama dengan UMNO.

Di Ipoh, Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata mereka menyokong penuh kepimpinan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang memimpin kerajaan PN.

Menurutnya, Armada Perak juga menyokong segala usaha Muhyiddin dalam memperkukuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Armada Perak juga mahu menyatakan bahawa pengkhianat kepada Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad adalah PH yang didokongi oleh PKR, DAP dan Amanah.

“Ketika Bersatu bersama dalam gabungan PH, kebanyakan pemimpin ketiga-tiga parti ini, terutamanya DAP dan PKR, tidak henti-henti mendesak Dr Mahathir meletakkan jawatan perdana menteri ketika itu,” katanya dalam kenyataan bersama Ketua-Ketua Armada Bersatu Bahagian Perak yang disiarkan di akaun Facebook rasmi Pemuda PPBM Perak.

Related posts

Leave a Comment