91 % terima tawaran haji, 84,000 buat rayuan

KUALA LUMPUR 13 Mac – Kira-kira 91 peratus daripada 31,600 bakal jemaah haji mengesahkan menerima tawaran menunaikan rukun Islam kelima itu manakala, kira-kira 84,000 mengemukakan rayuan untuk menunaikan ibadat haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata, ini bermakna, hanya kira-kira 9 peratus kuota haji belum diisi sepenuhnya.

“Setakat hari ni, 91 peratus jemaah sudah menghantar surat penerimaan (tawaran haji). Maknanya mereka sudah sah akan pergi (tunai haji) dan difahamkan sudah menerima tarikh penerbangan masing-masing,” katanya.

Beliau memberitahu demikian selepas menyempurnakan Program Rahmah Madani Ramadan MAIWP: Majlis Sumbangan Kepada Pusat Perubatan dan Hospital 1446/2025M di Hospital Tunku Azizah, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamrulzaman Syed Kabeer, Timbalan Pengarah Perubatan 1 Hospital Kuala Lumpur, Dr Shahrum Ismail dan Pengarah Hospital Tunku Azizah, Dr Shamsul Anuar Kamaruddin.

Terdahulu, TH mengeluarkan surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah bagi musim 1446H/2025M secara berperingkat mulai 16 Disember 2024,

Berhubung rayuan, beliau berkata, disebabkan 91 peratus jemaah sudah memberikan jawapan, maka baki 9 peratus lagi itu akan diisi dalam kalangan 84,000 yang mengemukan rayuan ini.

“Daripada 84,000 jemaah ini, hampir 80,000 orang yang bersedia untuk bayar kos haji sepenuhnya, begitu semangat mereka nak tunaikan haji tahun ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mempertimbangkan untuk memberikan kuota tambahan sebanyak 10,000 yang sudah dikemukakan sebelum ini.

“Seperti dimaklumkan, saya sudah menulis surat kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, untuk dapatkan kuota tambahan sebanyak 10,000. Kita masih menunggu supaya dapat bawa lebih banyak jemaah kerana selain yang merayu, ada 4 juta umat Islam yang masih menunggu giliran,” katanya.

Related posts

Leave a Comment