Vijayan Savarinathan mohon maaf

SEPANG 10 Mac  – Pemilik akaun Facebook ‘Vijayan Savarinathan’ muncul melalui video terbaharu dengan membuat permohonan maaf secara terbuka selepas tular video yang dimuat naiknya mengandungi perkataan lucah dan penghinaan terhadap orang Melayu dan agama Islam.

Menerusi video yang dimuat naik di Facebook hari ini, individu tersebut mengakui kesilapan yang dilakukannya sebelum ini.

Individu itu menjelaskan tindakannya adalah berpunca daripada kemarahan terhadap penularan video melibatkan penyampai sebuah stesen radio yang sebelum ini didakwa menghina agama Hindu.

“Saya minta maaf ikhlas daripada hati saya… apa yang saya buat dan saya cakap memang tidak patut.

Sebab mereka (penyampai sebuah stesen radio) buat video itu saya pun marah dan tidak boleh tahan sebab kita kena hina, tetapi itu bukan alasan untuk saya buat video begitu,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan bahawa pihak polis sedang memburu pemilik akaun Facebook ‘Vijayan Savarinathan’ berhubung kandungan video berdurasi lebih tiga minit.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, sejurus laporan polis dibuat termasuk usaha mengesan lelaki terbabit yang berkemungkinan berada di luar negara.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang boleh menyebabkan ketidakharmonian antara kaum dan agama, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi serta Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan jaringan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment