PN ada asas tolak syarat ‘luar biasa’ MoU

NILAI 10 Mac – Perikatan Nasional (PN) mempunyai sebab dan asas tersendiri untuk tidak bersetuju dengan syarat ditetapkan kerajaan dalam isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, kata Pengerusinya  Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Presiden Bersatu menegaskan syarat ditetapkan dalam memorandum persefahaman (MoU) itu adalah luar biasa dan ketat seolah-olah terpaksa menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan.

Muhyiddin mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri,  Fadillah Yusof berhubung status draf perjanjian antara kerajaan dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menerima dana wakil rakyat kini di fasa akhir.

“Biarlah kalau Syed Saddiq terima… PN ada sebab dan asas kenapa tak boleh terima (syarat ditetapkan).

“Syarat itu agak terlalu luar biasa, ketat, macam kita terpaksa menyerahkan segala-galanya kepada PH (kerajaan), hanya kerana nak dapatkan RM200,000 atau RM300,000.

Saya dah jelaskan dulu, ia tidak adil… kalau ikut sewaktu kita (PN) jadi kerajaan dulu, kita bagi semua tanpa syarat, sebab duit itu bukan kita guna peribadi, tapi duit itu untuk rakyat di kawasan yang berkenaan.

“Jadi, dengan tindakan dia (kerajaan) memilih-milih ini, bermakna dia mendiskriminasi antara mereka yang menyokong dan yang tak menyokong, rakyat jelata sepatutnya terima apa-apa bentuk bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Rahmat Ramadan Bersatu Negeri Sembilan di Dewan Aminah Hamid, di sini, malam tadi.

Terdahulu, beliau bersama beberapa pimpinan Bersatu hadir majlis taklimat bersama Badan Pimpinan Negeri Bersatu Negeri Sembilan serta menyaksikan penyerahan borang ahli baharu Bersatu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, pihaknya sudah berusaha berunding beberapa kali dengan kerajaan berhubung peruntukan yang diharapkan.

“Kalau media baca syarat-syarat itu, semua orang kata ini tak patut, tak munasabah… macam-macam kena sokong itu dan ini. Jadi bagi kami yang ada pengalaman, kami teliti dan tahu, ini bertentangan dengan prinsip kami, tak boleh terima,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment