NEW YORK – Sebanyak 12,298 wanita terkorban akibat serangan udara dan serangan tentera Israel di Palestin, demikian laporan Kementerian Hal Ehwal Wanita Palestin sempena Hari Wanita Antarabangsa.
Menurut laporan itu, serangan berterusan di Gaza memberi kesan amat dahsyat kepada wanita Palestin di Tebing Barat, Gaza, Baitulmaqdis dan diaspora.
Di Tebing Barat, 928 rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak maut sejak perang tercetus.
Kira-kira satu juta wanita di Gaza terpaksa meninggalkan kediaman mereka, sementara 1.2 juta penduduk secara keseluruhan, termasuk ramai wanita dan kanak-kanak, kehilangan tempat tinggal.
Pemindahan besar-besaran itu menyebabkan wanita terdedah kepada kemiskinan, keganasan dan kekurangan akses kepada perkhidmatan asas.
Laporan itu turut menekankan krisis ekonomi yang teruk, terutama bagi wanita di Gaza manakala kadar pengangguran dalam kalangan wanita melonjak ke tahap membimbangkan, iaitu 95 peratus berbanding 67.6 peratus sebelum perang.
Selain itu, 91 peratus penduduk Gaza atau 1.84 juta orang kini menghadapi krisis kekurangan makanan yang teruk, dengan 96 peratus bayi berusia bawah enam bulan mengalami malnutrisi akut.
Sebanyak 90 peratus wanita hamil dan ibu yang menyusu anak mereka di Gaza tidak mendapat pemakanan mencukupi.
Penggantungan perkhidmatan Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) turut menyebabkan 41,571 wanita Palestin kehilangan akses kepada perkhidmatan kesihatan penting.
Selain itu, 22,835 orang kurang upaya di Gaza, termasuk ramai wanita, tidak mempunyai akses kepada rawatan kesihatan dan sokongan psikologi yang diperlukan.
Kesan terhadap kanak-kanak juga amat ketara. Penutupan sekolah dan penggantungan perkhidmatan pendidikan UNRWA telah menyebabkan 324,000 pelajar Palestin kehilangan hak pendidikan, termasuk 278,000 pelajar di Gaza.
Laporan itu juga memaklumkan dari segi infrastruktur fizikal, sebanyak 87,000 unit rumah di Gaza telah musnah sepenuhnya, manakala 297,000 unit mengalami kerosakan sebahagian.
Harga makanan di Gaza juga meningkat sebanyak 309.4 peratus, menjadikannya hampir mustahil bagi banyak keluarga untuk mendapatkan keperluan asas.