Hamas sifatkan dasar kebuluran Israel

JERUSALEM – Israel memutuskan bekalan elektrik ke Gaza, sekali gus menjejaskan sebuah loji penyahgaraman yang menghasilkan air minuman yang disifatkan Hamas sebagai sebahagian daripada “dasar kebuluran” Israel.

Susulan itu, wilayah Gaza dan infrastrukturnya telah mengalami kemusnahan besar dengan kebanyakan fasiliti termasuk hospital, kini bergantung kepada generator.

Minggu lalu, Israel menggantung bekalan barangan ke wilayah yang menempatkan lebih dua juta rakyat Palestin, mengulangi sekatan yang dikenakan pada hari-hari awal perang.

Surat daripada Menteri Tenaga Israel kepada Perbadanan Elektrik Israel mengarahkan supaya bekalan elektrik ke Gaza dihentikan.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassam berkata, Israel “pada dasarnya” telah memutuskan bekalan elektrik sejak perang bermula dan menyifatkan keputusan terbaharu ini sebagai sebahagian daripada “dasar kebuluran” Israel yang jelas mengabaikan semua undang-undang dan norma antarabangsa.

Loji penyahgaraman tersebut sebelum ini membekalkan 18,000 meter padu air sehari ke kawasan Deir Al-Balah di Gaza tengah, menurut Gisha, sebuah organisasi Israel yang memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk kebebasan bergerak.

Pengarah Eksekutifnya, Tania Hary berkata, loji itu dijangka beroperasi menggunakan generator dan hanya mampu menghasilkan sekitar 2,500 meter padu air sehari, jumlah yang hampir sama dengan isi padu sebuah kolam renang Olimpik.

Hary menambah, sekatan Israel terhadap bekalan bahan api ke Gaza mempunyai kesan yang lebih besar dan kekurangan air semakin membimbangkan kerana bahan api diperlukan untuk menggerakkan trak pengagihan air.

Sementara itu, Israel menerima kecaman hebat kerana menggantung bekalan ke Gaza.

“Sebarang sekatan terhadap kemasukan keperluan asas untuk orang awam boleh dianggap sebagai hukuman kolektif,” kata Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada Jumaat.

Israel sedang memberi tekanan ke atas kumpulan pejuang itu untuk menerima lanjutan bagi fasa pertama gencatan senjata mereka, yang telah berakhir hujung minggu lalu.

Israel juga mahu Hamas membebaskan separuh daripada baki tebusan sebagai balasan untuk janji rundingan bagi gencatan senjata yang berkekalan.

Sebaliknya, Hamas mahu memulakan rundingan bagi fasa kedua gencatan senjata yang lebih mencabar, melibatkan pembebasan semua baki tebusan di Gaza, pengunduran tentera Israel dan keamanan jangka panjang.

Pasukan pejuang Palestin itu juga dipercayai masih menahan 24 tebusan yang masih hidup dan mayat 35 yang lain.

Related posts

Leave a Comment