Tiada wabak ancam kesihatan jemaah

Foto Haramain Sharifain

MINA : Tiada wabak atau penyakit yang mengancam kesihatan awam jemaah haji direkodkan sehingga kini dan Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengesahkan status kesihatan umum jemaah sepanjang musim ini adalah baik.

Jurucakapnya, Dr Mohammed Al-Abdali, berkata segala langkah diambil Kementerian Kesihatan juga dilihat tepat pada musim haji kali ini.

Katanya, jumlah pembantu kesihatan pada musim haji tahun ini melebihi 32,000 orang bagi menyediakan perkhidmatan kepada jemaah bermula dari ketibaan ke negara ini melalui 14 pintu masuk sama ada laut, udara atau darat.

Menurutnya, rangkaian perkhidmatan kesihatan diberikan kepada jemaah haji membabitkan 140 pusat kesihatan, selain 32 hospital dengan tiga daripadanya adalah hospital di lapangan.

Bercakap pada sidang media pertamanya untuk musim haji tahun ini, beliau berkata, hospital ini beroperasi dengan kapasiti 6,132 katil termasuk 761 katil untuk rawatan rapi dan 222 katil untuk menangani strok haba.

“Sistem kesihatan termasuk beberapa pusat pertolongan cemas dan perubatan serta beberapa lokasi tambahan bagi merawat jemaah haji semasa kehadiran mereka ke Makkah,” katanya.

Pada masa sama, Dr Mohammed berkata, jumlah perkhidmatan kesihatan yang disediakan kepada jemaah Haji setakat ini mencecah lebih 31,000, termasuk mereka yang terlantar di kemudahan kesihatan.

Katanya, terdapat 190 kenderaan perubatan disediakan selain 16 lokasi dan pusat perubatan kecemasan di kemudahan Jamarat, di sini.

Pihak Berkuasa Bulan Sabit Merah Saudi (SCRA) pula menyediakan perkhidmatan menggunakan teknologi tertinggi, termasuk 247 ambulans udara dan kenderaan berteknologi tinggi lain.

“Malah Pihak Berkuasa Kesihatan Awam (WEQAYA) turut menyediakan perkhidmatan penting dan memantau situasi epidemiologi.

“Ia mempunyai unit intervensi pantas serta unit mudah alih untuk memantau, membuat susulan serta menjalankan sebarang ujian lanjutan,” katanya.

Mengenai makanan dan ubat-ubatan semasa tempoh haji, Dr Mohammed berkata, Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-ubatan Saudi (SFDA) juga menyediakan pelbagai perkhidmatan, antaranya pemeriksaan makanan, ubat-ubatan serta peralatan di pelabuhan.

Sehingga kini sebanyak 23 kes pembedahan direkodkan, termasuk berkaitan jantung selain 460 dialisis serta perkhidmatan yang disediakan oleh hospital secara maya kepada kira-kira 900 jemaah haji.

(Foto utama Haramain Sharifain)

Related posts

Leave a Comment