Adam Adli sah tanding MPP PKR

KEPALA BATAS 8 Mac –  Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim mengesahkan untuk bertanding jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 24 Mei ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata hasrat itu adalah sebagai antara cara untuk beliau terus menyumbang jasa dalam parti, susulan penggalnya sebagai Ketua AMK, akan berakhir tahun ini.

“Adalah tidak adil kalau saya berada di pentadbiran negara tapi saya tidak main peranan aktif dalam kepemimpinan parti,” katanya kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Program Santuni MADANI di Kampung Baru Penaga di sini, hari ini.

PKR akan mengadakan pemilihan bagi jawatan MPP, Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) di mana .
peringkat cabang dijadual berlangsung dari 11 hingga 20 April ini.

Dalam pada itu, Adam Adli mengingatkan semua ahli PKR supaya terus kekal utuh dengan prinsip integriti yang tinggi sepanjang proses pelaksanaan pemilihan parti berkenaan.

Beliau juga berharap pemilihan itu nanti dapat berjalan dalam keadaan baik, aman dan adil tanpa dicemari dengan insiden yang boleh menjejaskan nama parti.

“Ini penting kerana kita sebagai parti kerajaan hari ini diuji dengan macam-macam (isu). Jadi saya harap semua kekal utuh dengan prinsip integriti dan jangan kita cemarkan pemilihan ini dengan insiden atau perkara yang tidak baik.

“Jika ada (isu dalaman berbangkit) boleh menyuarakan kepada biro disiplin. Saya juga yakin Jawatankuasa Pemilihan Parti juga sudah menyiapkan mekanisme-mekanisme untuk memastikan pemilihan dapat berjalan lancar,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment