Tindakan AS jejas program global WHO

GENEVA – Tindakan Amerika Syarikat (AS) membeku dana bantuan luar negara kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi kesan kepada program kesihatan global organisasi itu.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, berkata masih terlalu awal untuk menentukan kesan penuh daripada pembekuan perbelanjaan bantuan AS — yang secara tradisinya adalah penderma bantuan terbesar di dunia.

Namun, pertubuhan dunia itu mengakui akan mencari jalan supaya dapat terus memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Jurucakap WHO, Margaret Harris mengakui bahawa beberapa program jelas terjejas, termasuk rangkaian pemantauan campak global yang sebelum ini dibiayai sepenuhnya oleh AS.

“Mengenai campak, memang terdapat kekurangan besar (dana),” katanya kepada wartawan di Geneva.

“Kami tidak akan membiarkannya runtuh,” tegasnya sambil menyifatkan

mencari cara untuk terus menjalankannya adalah cabaran yang besar.

Ketua Unit Penjagaan Selamat dan Berskala WHO di program kecemasan, Janet Diaz, berkata respon terhadap wabak ebola yang sedang melanda Uganda terjejas akibat pembekuan bantuan AS.

“WHO terpaksa mengambil langkah tambahan dan menampung kawasan yang biasanya tidak disokong,” katanya, merujuk kepada ‘pengangkutan sampel biologi, logistik dan penyebaran pasukan pemantauan ke titik kemasukan’.

Agensi itu, katanya, mengeluarkan sebanyak AS$3.4 juta (RM15 juta) dari dana kecemasan untuk membantu meningkatkan sokongan bagi respon yang diterajui kerajaan.

Diaz turut mengatakan bahawa usaha pencegahan jangkitan dan sanitasi dalam keadaan kecemasan juga terjejas.

WHO, katanya, kini sedang meneliti ‘bagaimana boleh memberikan bantuan dengan sumber yang lebih sedikit’ dan bagaimana “mengoptimumkan kerjasama dengan agensi lain untuk dapat terus memberikan bantuan dan mencari penderma lain.

Tidak kira berapa banyak program yang terjejas, Harris menegaskan bahawa WHO akan mencari jalan untuk terus menyediakan bantuan yang diperlukan.

“Kami tidak akan mengecewakan rakyat di seluruh dunia. Kami tidak akan duduk dan menangis. Kami tidak akan menyerah begitu saja,” katanya.

Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump, menandatangani perintah eksekutif pada hari pertama beliau memegang jawatan pada 20 Januari, yang menuntut pembekuan selama 90 hari bagi semua bantuan luar negara AS untuk memberi masa kepada pentadbirannya menilai perbelanjaan luar negara.

Namun, sejak itu, beliau melancarkan pemotongan besar-besaran yang menurut kumpulan hak asasi manusia telah memberi kesan kepada jutaan orang di seluruh dunia.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment