Kosong automatik selepas 14 hari

KOTA KKINABALU 5Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Peter Anthony mempunyai masa selama 14 hari untuk menggunakan saluran perundangan berikutan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara ditolak, sebelum kerusinya dikosongkan secara automatik.

Speaker DUN Sabah,  Kadzim M Yahya, berkata tempoh hukuman terbabit berkuat kuasa bermula semalam susulan penolakan rayuan Peter bagi kes berkaitan pemalsuan dokumen oleh Mahkamah Rayuan.

“Saya mengambil maklum bahawa rayuan kes jenayah bagi Datuk Peter Anthony, ADUN Melalap telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 4 Mac 2025 (semalam). Dalam hal ini, perintah sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen dikekalkan Mahkamah Rayuan.

“Mengikut Perkara 17(1) (e) di bawah Perlembagaan Negeri Sabah, mana-mana Ahli Dewan Undangan yang disabitkan atas kesalahan oleh Mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara untuk tidak kurang dari setahun atau denda sebanyak tidak kurang RM2,000 akan hilang kelayakan sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri.

“Namun peruntukan tersebut hendaklah dibaca bersama-sama dengan peruntukan-peruntukan lain mengikut Perlembagaan Negeri Sabah yang berkaitan dengan kehilangan kelayakan seorang Ahli Dewan Undangan.

“Oleh demikian, status Datuk Peter Anthony sebagai Ahli Dewan Undangan bagi kawasan N.35 Melalap akan diputuskan setelah semua peruntukan undang-undang berkaitan dengan perkara tersebut telah dipenuhi,” katanya pada sidang media di bangunan DUN Sabah, di sini, hari ini.

Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu kekal dipenjara tiga tahun serta didenda RM50,000 kerana memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), 11 tahun lalu.

Ini selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin, semalam menolak rayuan akhir Peter, 54, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022.

Peter yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur memenangi kerusi DUN Melalap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 di atas tiket Parti Warisan (Warisan).

Setahun kemudian, beliau mengumumkan keluar daripada Warisan pada 28 Disember 2021 sebelum menubuhkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pada Februari 2022.

Kini, parti KDM mempunyai dua kerusi DUN iaitu DUN Melalap yang disandang olehnya dan DUN Bandau yang disandang oleh Datuk Wetrom Bahanda selaku Timbalan Presiden KDM.

Memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlangsung tidak lama lagi, sebarang kekosongan jika berlaku tidak perlu diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Nnn

Related posts

Leave a Comment