Harith Iskander, Cecelia dikompaun RM10,000

SEPANG 5 Mac – Di sebalik ‘kecoh’ isu video yang didakwa mempersendakan agama Hindu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tampil dengan kenyataan berhubung kes melibatkan dua individu yang memberi komen jelik melibatkan Islam pada Januari lalu.

Dalam kenyataannya malam ini, MCMC memaklumkan pihaknya telah menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengenakan kompaun RM10,000 setiap seorang terhadap dua individu atas kesalahan memuat naik kandungan dan komen jelik melibatkan agama Islam di Facebook, pada 18 Januari lalu.

Menurut MCMC, tindakan kompaun itu akan dikenakan ke atas pelakon dan pelawak, Harith Iskander dan Cecelia Yap di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tindakan itu berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2025.

“Selepas menerima permohonan daripada MCMC, Meta telah menurunkan kandungan tersebut setelah ianya didapati melanggar garis panduan komuniti Facebook.

“Selain itu, permohonan penutupan akaun Facebook milik kedua-dua individu terbabit juga telah dibuat. Permohonan tersebut kini dalam penelitian dan penilaian pihak Meta,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Harith memuat naik gambar menu kedai kopi dengan item bernama “Ham Sap Kopi” berserta kapsyen: “Saya sangat keliru. Iman saya tergugat. Kopi ini akan membawa saya ke jalan yang salah dalam pelbagai cara. Bukan sahaja menggoda saya untuk menjadi ‘hamsap’ tetapi juga membuat saya keliru dengan perkataan ‘ham’ dalamnya. Ni untuk minum atau makan?

“Saya perlu buat laporan polis kerana saya lemah dan hilang kemampuan menggunakan logik. Siapa lagi yang keliru,” tulis Harith.

Cecelia Yap pula disiasat kerana mengulas mengenai hantaran Facebook Harith. Susulan itu, laporan polis dibuat terhadap ke atas mereka.

Yap kemudian membuat permohonan maaf terbuka dan berjanji akan memberi kerjasama penuh terhadap siasatan ke atasnya.

“Saya amat kesal dengan komen tidak sensitif saya yang menyakitkan perasaan semua orang,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, MCMC akan mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya esok berhubung video mempersendakan agama Hindu yang dimuat naik ke akaun TikTok milik stesen radio swasta.

Susulan kes tersebut, MCMC telah memanggil pengurusan tertinggi stesen terbabit, semalam dan satu kertas siasatan dibuka di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan selepas pindaan akta.

Rakaman percakapan pihak terlibat dibuat bagi membantu siasatan.

Notis Niat bagi Penggantungan Lesen turut diserahkan kepada pemegang lesen yang mengendalikan stesen radio itu dan  diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang keputusan diambil.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment