ALOR SETAR – Kadar zakat fitrah di Kedah kekal RM7 bagi beras tempatan dan RM14 beras import sehingga Jabatan Mufti mengkaji semula kadar itu pada masa akan datang susulan isu beras putih import dicampur dengan beras putih tempatan.
Mufti Kedah, Fadzil Awang berkata sehingga kini tiada kajian menyeluruh dilakukan untuk menentukan kesannya terhadap kadar zakat fitrah walaupun amalan itu didakwa sudah lama berlaku.
Katanya kajian mendalam perlu dijalankan termasuk menentukan nisbah campuran sama ada beras tempatan lebih banyak daripada beras import, atau sebaliknya.
“Kita masih belum mempunyai gambaran penuh,” kata Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah itu selepas pengumuman kadar zakat fitrah Kedah bagi tahun 2025.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Norizan Khazali, dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Zakaria Othman.
Fadzil, berkata pihaknya akan menunggu laporan terperinci daripada agensi kerajaan berkaitan sebelum membuat sebarang cadangan.
“Kita mengikuti perkembangan di sana (Pusat) iaitu langkah-langkah untuk melihat secara lebih terperinci berkenaan dengan cara mencampur antara beras tempatan dengan beras import itu.
“Jadi, setelah melihat apa yang akan dilakukan di sana dan kriteria-kriteria yang akan diperlukan barulah kita di sini akan menyusuli melihat dan memberi pandangan. Sehingga itu kadar tersebut kekal,” katanya.
Rabu lalu, Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendapati kira-kira 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang dirampas pihak berkuasa dicampur dengan beras putih tempatan.
Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata penentuan kadar zakat fitrah berdasarkan gred beras akan diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri dan Majlis Agama Islam masing-masing.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman, memberitahu LZNK memperkenalkan 22 saluran bayaran secara dalam talian untuk menunaikan zakat fitrah.
Katanya , terdapat tiga portal dan aplikasi rasmi LZNK iaitu portal Jom Zakat, aplikasi Zakat On Touch dan MyAmil, diikuti 13 platform perbankan internet, tiga aplikasi e-wallet dan tiga portal pembayaran untuk tujuan pembayaran zakat itu.
Menurut Zakaria, seramai 2,753 amil bertauliah dan 172 agensi kutipan telah dilantik LZNK bagi memastikan proses pembayaran zakat dapat dilakukan dengan mudah oleh masyarakat.
(Foto LZNK)