Ruang solat Aidilfitri habis ditempah

SINGAPURA 11 Mei – Semua ruang solat Hari Raya Aidilfitri habis ditempah oleh 17,192 orang sejurus tempahan dibuka pada pukul 10 pagi hari ini.

Disebabkan terlalu ramai, proses tempahan berdepan masalah server tetapi dipulihkan kembali mulai pukul 10.30 pagi

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) melalui Facebooknya memahami ramai yang tidak puas hati ruang solat Aidilfitri habis ditempah dalam masa yang singkat.

“Kami faham rasa kecewa yang dirasai oleh masyarakat, yang rindu untuk menunaikan solat Aidilfitri di masjid.

“Namun kami minta maaf kerana tidak dapat menyediakan lebih banyak ruang dan peluang untuk masyarakat buat masa ini kerana penting untuk memastikan penularan (virus) rendah dalam masyarakat dan memastikan seluruh negara selamat,” kata MUIS.

MUIS juga meminta anggota masyarakat yang tidak berjaya mendapatkan ruang solat di masjid supaya bersabar dan menunaikan solat sunat itu bersama keluarga mereka di rumah.

Ruang solat dihadkan susulan langkah-langkah pengurusan selamat Covid-19 yang diperketatkan baru-baru ini.

Setiap masjid akan mengadakan tiga sesi solat Aidilfitri dengan setiap sesi terhad kepada 100 jemaah sahaja dalam dua zon berasingan, dengan 50 jemaah setiap satu.

Jika tidak kerana langkah-langkah pengurusan selamat yang diperketatkan itu, terdapat sekitar 61,700 ruang solat di masjid-masjid tempatan.

Sementara itu khutbah Hari Raya Mufti akan disiarkan secara langsung di SalamSG TV untuk mereka yang tidak dapat hadir ke masjid di samping kaedah menunaikan solat Aidilfitri juga boleh diperoleh di laman muslim.sg

Related posts

Leave a Comment