12 kes positif di Malaysia

PUTRAJAYA 5 Feb – Ketika jumlah kematian akibat Koronavirus di China meningkat kepada 490 orang, jumlah kes positif di negara ini meningkat kepada 12 orang.

Dua daripada 107 individu, yang tiba di tanah air pagi Selasa dari Wuhan, China menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) disahkan positif novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kes terbaharu ini melibatkan dua warga Malaysia iaitu seorang lelaki berusia 45 tahun dan anak lelakinya yang berusia sembilan tahun. 

Kedua-dua mereka (bapa dan anak) tidak menunjukkan sebarang gejala koronavirus ketika dibawa pulang dan disahkan positif di Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek, Nilai di Negeri Sembilan.

Mereka kini dirawat di wad isolasi di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban. 

Selain anak lelakinya, lelaki itu pulang bersama isteri dan seorang lagi anak perempuan mereka.

Menurut kenyataan media hari ini, dari 10 Januari sehingga 10 pagi hari ini, jumlah kumulatif kes PUI jangkitan 2019-nCoV adalah 257 orang; di mana 161 adalah warganegara Malaysia, 91 warga China dan masing-masing satu (1) warganegara Australia, Republik Korea, Jordan, Brazil dan Thailand.

Lima (5) kes telah disahkan positif 2019-nCoV, 235 adalah negatif 2019-nCoV dan 17 kes masih menunggu keputusan makmal .

Related posts

Leave a Comment