Palestin bukan untuk dijual

RAMALLAH – Palestin ‘bukan untuk dijual’ demikian penegasan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, sambil menolak sebarang usaha pemindahan penduduk Palestin secara paksa.

Beliau turut mengulangi ‘pendirian tegas Palestin bahawa tiada bahagian daripada wilayahnya – termasuk Gaza, Tebing Barat atau Baitulmuqaddis – akan dilepaskan’.

Abbas menyatakan penegasan itu dalam ucapan perasmian mesyuarat Jawatankuasa Pusat Fatah di Ramallah, tengah Tebing Barat, pada Rabu.

Merujuk kepada Sidang Kemuncak Kesatuan Afrika di Addis Ababa yang berakhir Sabtu lepas, Abbas menyatakan bahawa beliau menegaskan semula pendirian tegas Palestin terhadap sebarang percubaan untuk memindahkan rakyat Palestin.

Abbas turut menekankan kepentingan mematuhi legitimasi antarabangsa dan Inisiatif Keamanan Arab sebagai asas bagi sebarang penyelesaian politik berkaitan isu Palestin.

Inisiatif Keamanan Arab, yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak Liga Arab 2002 di Beirut, menyeru penubuhan negara Palestin yang diiktiraf dalam sempadan 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya, sebagai pertukaran untuk negara Arab yang mengiktiraf Israel dan menjalinkan hubungan biasa.

Abbas turut mengalu-alukan kenyataan Presiden Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Mohammed bin Zayed yang dibuat pada Rabu semasa pertemuannya dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio.

Baginda menegaskan semula penolakan negaranya terhadap sebarang usaha memindahkan penduduk Palestin serta menekankan bahawa pembinaan semula Gaza mesti dikaitkan dengan laluan yang membawa kepada keamanan menyeluruh.

Jawatankuasa Pusat Fatah turut menolak semua seruan untuk pemindahan paksa rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza atau mana-mana wilayah Palestin yang diduduki.

Jawatankuasa itu menegaskan bahawa ‘rancangan sedemikian pasti gagal’, memandangkan tentangan jelas daripada pihak Arab dan antarabangsa yang menganggapnya sebagai pelanggaran undang-undang serta legitimasi antarabangsa.

Jawatankuasa itu turut memuji pendirian Jordan, Mesir, Arab Saudi dan negara-negara Arab lain yang menolak sebarang usaha untuk memindahkan rakyat Palestin atau menjejaskan hak sah mereka.

Presiden AS, Donald Trump, telah berulang kali mencadangkan untuk ‘mengambil alih’ Gaza dan memindahkan penduduknya bagi membangunkan semula wilayah itu menjadi apa yang dipanggilnya sebagai ‘Riviera Asia Barat’.

Related posts

Leave a Comment